Selepas hantar memorandum, Mahathir ‘sokong’ darurat



Sebaran :


KUALA LUMPUR – Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama-sama ahli-ahli Parlimen pembangkang menyerahkan memorandum mahu menamatkan darurat pada Jun depan kepada Yang Dipertuan Agong (YDPA).

Namun hari ini bekas Perdana Menteri itu ‘menyokong’ pula darurat tapi dalam nada sinikal.

“Aku sokong darurat,” katanya dalam kenyataan seakan-akan sajak bertajuk “Aku Sokong Darurat’ di blognya hari ini.



Beliau juga berkata; “Tidak sokong bermakna derhaka kepada Agong”.

Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) berkata, darurat yang diisytiharkan oleh YDPA, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 11 Januari lalu membolehkan polis menangkap dan menyoal sesiapa sahaja.

Malah beliau berkata, langkah itu adalah undang-undang.



“Dan kita patuh kepada undang-undang – kedaulatan undang-undang,” katanya lagi.

Semalam, Mahathir bersama Pengerusi Jawatankuasa Tamat Darurat, Khalid Samad, Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyerahkan surat menghadap YDPA kepada Setiausaha Sulit Kanan Agong, Kolonel Nazim Mohd Alim.

Ia merupakan surat kedua dihantar oleh jawatankuasa itu kepada YDPA bagi memohon perkenan Seri Paduka untuk menerima petisyen rayuan menamatkan darurat.



Tambah Mahathir, darurat yang dilaksanakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membenarkan undang-undang digubal dengan mengabaikan Perlembagaan Persekutuan seperti Ordinan Darurat mengenai berita palsu.

Malah Ahli Parlimen Langkawi itu turut kesal bagaimana kebenaran boleh dianggap sebagai ‘berita palsu’ dan membawa kepada penangkapan segelintir pihak, sedangkan apa yang palsu pula dianggap benar.

“Undang-undang fake news sudah lulus. Apa dia fake news. Yang benar adalah fake boleh tangkap. Yang fake adalah benar tak kena tangkap,” katanya lagi.



Untuk rekod, kerajaan meluluskan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) (No 2) 2021, yang menyatakan definisi ‘berita palsu’ sebagai berita atau maklumat yang “sepenuhnya atau sebahagiannya salah berkaitan dengan Covid-19 atau pengisytiharan darurat” pada bulan lalu.

Ordinan itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali manakala bagi kesalahan yang berterusan pula, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan. MG

Mahathir dakwa Muhyiddin diktator


Sebaran :


Leave a Reply