Ibu nekad terjun sungai bersama tujuh anak
PUTATAN: Seorang ibu nekad untuk terjun ke muara sungai bersama tujuh anaknya untuk menyelamatkan diri dalam kebakaran di Kampung Dumpil, Putatan, malam tadi.
Mangsa, Sahara Ismail, 35, yang cemas melihat kediaman jiran mereka sedang terbakar lalu bertindak terjun bersama tujuh anaknya termasuk yang berusia dua tahun.
Menurutnya, ketika insiden, dia sedang tidur dan terjaga untuk membuat susu anak perempuannya yang berusia dua tahun.
“Saya kata kampung sedang terbakar, saya masuk ke dalam dan ambil anak saya semua terus kami terjun ke air laut (muara sungai),” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Menurutnya, ketika itu, air sungai pada paras paha dan terpaksa meredahnya untuk keselamatan anak-anakanya.
“Saya dibantu oleh anak saya berusia 16 tahun dan orang kampung ke kawasan selamat.
“Rumah saya tidak terbakar namun saya panik ketika itu kerana api sudah merebak ke rumah jiran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran itu pada jam 10.20 malam.
Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bergegas ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi, pasukan bomba telah berada di lokasi dalam usaha memadamkan kebakaran yang berlaku di kawasan berkenaan.
“Setakat ini, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat lebih kurang 17 ke 20 buah rumah yang musnah terbakar.
“Api berjaya dikawal jam 12.20 tengah malam,” katanya kepada Astro AWANI.
Menurutnya, semua mangsa yang terbabit akan dipindahkan di Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Serigai, Putatan.
“Siasatan awal mendapati tiada kemalangan jiwa dalam kebakaran ini.
“Punca kebakaran kita serahkan kepada pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah untuk menjalankan siasatan,” katanya.
Katanya lagi, kejadian kebakaran semalam adalah yang kedua di Puatan dan menasihati masyarakat khususnya di Putatan untuk sentiasa berhati-hati dalam keadaan cuaca kering sekarang.
“Jangan cuai hingga berlaku kebakaran seperti ini kerana ia akan menyebabkan kerugian disaat-saat kita di bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya nanti.
“Kita tidak mahu masyarakat di Penampang ini dalam keadaan susah menyambut Aidilfitri nanti. Jadi kita beri nasihat kepada mereka untuk sentiasa berhati-hati, jaga keselamatan diri, rumah sendiri dan kita jaga keselamatan tetangga kita,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Zainal @ John Radsung ketika ditemui berkata, seramai 24 anggota termasuk anggota forensik bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran.
“Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Sabah,” katanya
You must be logged in to post a comment.