Warga emas hilang seminggu ditemui dalam semak — MYKMU.NET

Warga emas hilang seminggu ditemui dalam semak



Sebaran :

KUALA NERUS: Wanita warga emas yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Seberang Takir, di sini sejak seminggu lalu ditemukan dalam semak berhampiran padang golf Tok Jembal, di sini pagi Rabu.

Meriam Embong, 84, ditemui salah seorang pekerja yang ditugaskan membersihkan kawasan padang golf tersebut sebelum memaklumkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kira-kira jam 9.40 pagi.

Pegawai APM Kuala Nerus, Kapten (PA) Zahidi Zainudin berkata, seramai empat anggota bergegas ke lokasi dan tiba 10 minit kemudian, iaitu kira-kira jam 9.50 pagi.



“Sebaik tiba, kami dapati terdapat seorang wanita warga emas yang sedang terbaring di dalam semak dan dilihat sangat keletihan.

“Hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang kecederaan tetapi dia kelesuan mungkin kerana tidak makan atau minum.

“Kami turut dimaklumkan salah seorang ahli keluarga mangsa di lokasi yang warga emas itu ada gejala nyanyuk kerana semasa ditanya namanya, sekejap ingat dan sekejap lupa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Rabu.

Jelas Zahidi, warga emas itu dihantar ke Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk pemeriksaan dan rawatan susulan.-SH




Sebaran :


Leave a Reply