Covid-19: Bapa tenat akibat COVID-19, Azlan Typewriter reda
Vokalis Azlan & The Typewriter, Norazlan Roslee reda dengan keadaan bapanya yang kini tenat di Hospital Serdang kerana positif COVID-19.
Norazlan atau Azlan ketika ditemui Gempak berkata, bapanya disahkan positif sejak dua minggu lalu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas seminggu dirawat.
Menurut Azlan, tidak ada apa yang mampu dilakukannya selain memanjat doa dan mengharapkan keajaiban daripada Allah SWT.
“Sejak seminggu lalu ayah menggunakan mesin bantuan pernafasan dan menurut adik bila-bila masa sahaja ia akan ditanggalkan.
“Tidak mampu untuk saya luahkan dengan kata-kata melainkan mendoakan urusan beliau dipermudahkan,” katanya sebak.
Azlan ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Indigital Music yang bertempat di 10 Gram Café , IOI Boulevard, Puchong pada petang Selasa.
Tambah Azlan, kali terakhir bertemu bapanya sebulan yang lalu, beliau masih dalam keadaan sihat.
“Sebulan yang lalu, dia masih sihat dan kami meluangkan masa bersama seperti biasa. Memang keluarga saya ada sejarah penyakit kencing manis.
“Tetapi tidak mengapalah, jika sudah masanya dia pergi, saya ikhlaskan hati, walaupun tidak dapat bertemu atau melawat beliau disebabkan SOP yang ditetapkan pihak hospital.
“Hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan saya ketika ini,” katanya.
Dalam pada itu, Azlan bersyukur kerana dan ahli keluarganya yang lain disahkan negatif COVID-19.
“COVID-19 is real. Tak ada istilah agenda Yahudi atau lain-lain. Berhentilah berspekulasi kerana bila terkena pada diri sendiri baru anda tahu perasaannya bagaimana,” ujarnya mengakhiri perbualan.-Awani
You must be logged in to post a comment.