Setelah Pendedahan Najib, Kementerian U-TURN Akui Harga Barang Makanan Naik
PETALING JAYA: Kerajaan mengakui harga bahan mentah dan segar di pasaran meningkat akibat inflasi dan faktor lain, termasuk kos pengangkutan dan makanan ternakan.
Oleh itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menangani kenaikan harga makanan seperti ayam, telur dan sayur.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Che Abdullah Mat Nawi mengakui rakyat berdepan kenaikan harga makanan dan memberi amaran kepada peniaga supaya tidak mengaut keuntungan atau memanipulasi harga ketika musim perayaan.
Katanya, bekalan daging lembu juga mencukupi untuk Ramadan dan Aidilfitri.
Kerajaan PN Nafi Barang Naik, Tapi Najib ‘Kantoikan’ Dengan Data Kerajaan Sendiri
“Dianggarkan bekalan daging untuk perayaan Aidilfitri adalah sebanyak 36,000 tan metrik, iaitu 27,000 tan metrik sumber daging import dan 9,000 tan metrik daging segar tempatan,” katanya dipetik Bernama ketika meninjau perusahaan arnab di Pasir Mas, Kelantan.
Terdahulu, bekas perdana menteri, Najib Razak hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan harga barang asas dan ekonomi negara mungkin mengalami “stagflasi”.
Dengan menjelaskan stagflasi sebagai “inflasi tinggi berterusan yang digabungkan pengangguran tinggi dan permintaan tidak stabil”, beliau berkata, ini adalah keadaan yang tidak diingini mana-mana negara.
Beliau berkata, adalah normal untuk harga barang meningkat setiap kali musim perayaan tiba, tetapi kenaikan harga baru-baru ini keterlaluan.