Perginya pelakon legenda Abu Bakar Omar


Pelakon veteran Abu Bakar Omar, 72, meninggal dunia akibat masalah jantung di Pusat Perubatan Kedah, Alor Setar, jam 9.05 pagi, hari ini.

Anak Allahyarham, Mohd Zainuddin Abu Bakar, 46, yang mengesahkan perkara itu memaklumkan jenazah bapanya dijangka dikebumikan selepas solat Jumaat, hari ini.

Zainuddin berkata, jenazah dibawa dan diuruskan di Mukim Kurung Hitam, Kuala Nerang, Kedah dan disolat selepas solat Jumaat.

“Jenazah akan disolatkan sekali lagi di Masjid Al Ghufran di Persiaran Sultan Abdul Hamid, Alor Setar dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru, Alor Setar,” katanya.

Zainuddin turut memohon orang ramai mendoakan agar roh bapanya diampuni dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Mohon doakan ayahanda kami diampuni segala khilafnya, ditempatkan bersama orang solihin. Bagi pihak keluarga kami memohon maaf atas segala salah silap arwah ayahanda kami sepanjang hayat beliau bersama masyarakat warga nusa ini.

“Sekiranya ada hutang piutang ayahanda, mohon sudi berhubung dengan saya. Diberkati rahmat Allah selalu duhai ayahanda. Kami akan sentiasa merinduimu,” katanya.

Allahyarham Abu Bakar yang memulakan kerjaya lakonan sekitar 1981 adalah seorang pelakon berkarakter dan cukup terkenal dalam drama serta filem tempatan.

Antara filem pernah dibintangi adalah Fenomena, Cinta Kolestol, Hingga Hujung Nyawa, Duyung dan banyak lagi.

Abu Bakar juga pernah memenangi Pelakon Lelaki Terbaik (Drama) menerusi lakonan dalam dalam Senja Belum Berakhir pada Anugerah Sri Angkasa 1983 dan Pelakon Lelaki Terbaik (Drama Radio) pada Anugerah Sri Angkasa 1990 menerusi drama radio Bukan Kerana Kasih.

Selain itu, Abu Bakar juga memenangi dua kali Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Anugerah Skrin 1999 menerusi telefilem Mata Hati dan 2012 dalam telefilem Gincu Ayah.

Pada Festival Filem Malaysia pula, Abu Bakar pernah tercalon tiga kali menerusi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Bila Hati Retak (FFM 1983), Rentak Desa (FFM 1991) dan Hingga Hujung Nyawa (FFM 2005). HM

[VIDEO] Al-Fatihah: Pelakon Soraya Abdullah Meninggal Dunia, Jenazah Dibungkus Dalam Plastik.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker