Empat anggota MPPD ditahan
Seremban: Empat anggota Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan.
Semua mereka ditahan melalui operasi Ops Jambu hari ini, selepas didakwa meminta dan menerima wang suapan daripada penjaja.
Menurut sumber, kesemua individu berusia antara 36 hingga 53 tahun itu ditahan pada jam 2 petang ketika berada di Pejabat SPRM Negeri Sembilan.
Kesemua mereka bertugas sebagai penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pembantu penguatkuasa.
Difahamkan mereka disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada penjaja pasar pagi dan malam di sekitar Lukut dan Port Dickson sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap penjaja yang tidak berlesen.
Sumber berkata, kesemua individu terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban esok untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.