Menantu antara punca ibu bapa dibuang

PETALING JAYA: Kewujudan ‘orang ketiga’ iaitu menantu dalam sesebuah keluarga yang tidak suka dengan kehadiran mentua adalah antara faktor berlakunya peningkatan kes-kes buang ibu bapa di negara ini.

Selain menantu, faktor lain termasuk kurangnya kefahaman agama serta tekanan hidup seperti kesempitan wang dan kesukaran mencari pekerjaan.

Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, kewujudan ‘orang ketiga’ ini cukup kuat untuk mempe­ngaruhi anak-anak menolak tanggungjawab menjaga ibu bapa.

Malah katanya, ada anak-anak yang menganggap ibu bapa sebagai bebanan disebabkan faktor ‘orang ketiga’ ini walaupun pada hakikatnya masih mempunyai perasaan sayang.

“Ada anak yang sayang ibu bapa tetapi menantu tidak mahu jaga. Kes seperti ini biasanya terjadi sebab mereka dianggap sebagai bebanan dan akhirnya ditolak kepada adik-beradik yang lain.

“Kita perlu ingat orang tua ini emosi mereka halus. Apabila ditolak sana-sini mereka sensitif dan akhirnya melarikan diri sehingga ada yang jadi gelandangan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan bilangan penghuni rumah pelindungan orang tua, Rumah Seri Kenangan yang sentiasa penuh menunjukkan wujudnya peningkatan masyarakat ‘membuang’ ibu bapa.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pemerkasaan Keluarga (Fame) Prof. Dr. Haslinda Abdullah berkata, kerajaan perlu mencari kaedah terbaik dan mengkaji secara holistik bagi menangani isu ini.

“Kajian perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum kita boleh membuat kesimpulan. Sebagai contoh apabila dikatakan persekitaran dan kawasan tempat tinggal menjadi punca, adakah ia benar?

Adakah ha­nya mereka yang tinggal di projek perumahan rakyat (PPR) sahaja terlibat? Bagaimana pula dengan kes membabitkan mereka yang tinggal di kawasan elit?

“Jadi kerajaan perlu berfikir, lebih-lebih lagi negara dijangka menuju ke status negara tua dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” jelasnya.

Tambah Haslinda, walau apa pun, kefahaman dan asas dalam agama patut menjadi ‘pendin­ding’ untuk mengelakkan terjadinya kes buang ibu bapa berlaku lagi pada masa depan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker