Suspek curi kereta cuba rempuh polis, dua das tembakan dilepaskan
KOTA KINABALU: Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki dua lelaki dipercayai terbabit kes curi kenderaan yang cuba melanggar anggota polis dalam kejadian di Kampung Dambai, Papar, pagi tadi.
Dalam kejadian pada 6.30 pagi itu, seorang anggota polis terbabit terpaksa melepaskan dua das tembakan untuk mempertahankan diri, namun suspek berjaya meloloskan diri.
Difahamkan, sebelum itu pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian kes curi kenderaan di Taman Bukit Sepanggar, Kota Kinabalu, jam 5 pagi.
Anggota polis yang bertugas kemudian menjalankan rondaan selepas menerima maklumat kenderaan itu menuju ke Papar.
Ketika membuat rondaan di sekitar Kampung Dampai, dua anggota polis mengesan kenderaan yang disyaki dicuri suspek sedang berhenti.
Anggota polis kemudian meminta pemandu dan penumpang turun dari kenderaan namun suspek bertindak agresif dan cuba merempuh seorang anggota polis.
Dalam keadaan cemas dan cuba melindungi diri, anggota polis terpaksa melepaskan dua das tembakan di bahagian belakang Toyota Hilux berkenaan.
Bagaimanapun kenderaan itu memecut laju ke Jalan Uku Bogok lalu anggota polis mengekori dan menemui semula kenderaan itu yang diparkir di tepi jalan.
Hasil pemeriksaan, kedua-dua suspek sudah tiada, dipercayai melarikan diri.
Akibat kejadian itu, salah seorang anggota polis calar pada jari.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan kedua-dua suspek terbabit. Awani