“Syok Sendiri” Sabah, Sarawak sebagai wilayah? – Naib Presiden Warisan

Pengumuman Sabah dan Sarawak sebagai wilayah dilihat sebagai ‘syok sendiri’ melainkan pindaan dibuat kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu dibangkitkan oleh Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Junz Wong yang meminta supaya ura-ura perubahan terbabit bukanlah gimik semata-mata.

Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru itu berkata, jika perkara tersebut tidak dipinda mengikut perlembagaan, ia disifatkan tidak mempunyai roh dan hanya tinggal sebutan.

“Apabila ia diumum begitu sahaja, itu kita panggil syok sendiri. Kita panggil Sabah sebuah wilayah, tetapi roh dan intipati sesebuah wilayah itu tidak ada.

“Hak minyak dan gas masih dinafikan, hak-hak pengeksportan masih perlu kelulusan Semenanjung Malaysia, Perjanjian MA63 masih tidak ditunaikan… jadi syok sendiri sajalah.

“Dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak masih dikenali sebagai ‘negeri’ bersama negeri-negeri seperti Kelantan, Pahang, Terengganu dan Perlis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya, di Kota Kinabalu, hari ini.

Semalam, tular pekeliling yang didakwa diterbitkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia mengenai arahan menukar terma panggilan Sabah dan Sarawak sebagai Wilayah.

Sementara itu, Junz turut menggesa supaya parlimen Dewan Rakyat dibuka semula bagi membincangkan perkara berkenaan secara telus dan kesediaan wakil rakyat Warisan untuk menyokong usul Perdana Menteri bagi meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

2 April lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Majlis Makan Tengah Hari bersama kepimpinan Masyarakat di Kuching, Sarawak menggunakan istilah wilayah Sarawak bagi menggantikan negeri.

“Mulai sekarang kita tidak boleh lupa bahawa Sarawak bukannya negeri tetapi sebuah wilayah.

“Negeri ini sebuah wilayah yang hebat, saya tidak boleh mengatakan ia sebuah negeri kerana Sarawak amat besar walaupun populasi penduduknya tidak ramai,” katanya.

Jelasnya lagi, Sarawak salah satu daripada tiga wilayah di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut Muhyiddin, setakat ini tiga jawatankuasa kerja telah menyediakan rangka kerja berhubung MA63 berkaitan hak Sabah dan Sarawak selepas emuktamadkan mesyuarat pertama dalam suku pertama 2021.

Dapat Tempat DI MIQ: Timbalan Menteri Wilayah Dipersoal Oleh Ahli Parlimen New Zealand

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker