Bazar Ramadan boleh beroperasi: Apa kata peniaga?
Pengumuman kerajaan pada 16 Mac yang lalu bagi membenarkan bazar Ramadan beroperasi memberi sinar baharu kepada peniaga tahun ini.
Dalam kalangan peniaga bazar Ramadan mendapati kebenaran berniaga telah menyuntik semangat mereka yang sebelum ini terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Malah, ada yang sudah melakukan pelbagai persiapan dan mula merancang langkah awal untuk persiapan berniaga.
Seorang peniaga air minuman, Rusdin Muhammad, 60, berkata pengumuman kebenaran untuk bazar Ramadan amat menggembirakan peniaga.
“Perasaan tu sangat gembiralah, sebab kita ni kerja pun susah sekarang. Kalau ada bazar tu, pendapatan tu ada lah sikit.
“Contohnya tahun lepas, apabila tiada bazar Ramadan, peniaga susahlah sikit disebabkan pendapatan tu berkurang,” katanya.
Menurut seorang peniaga kuih-muih, Sukran Che Hassan, 55, pula dia sudah melakukan beberapa persiapan untuk bazar Ramadan termasuklah membeli bahan mentah.
Bagaimanapun, Sukran berkata dia menjangkakan pelanggan tidak akan semeriah sebelum Covid-19 melanda.
“Saya berniaga kuih-muih, untuk persiapan tu saya belilah bahan mentah tapi dengan kadar yang sikit.
“Sebab, sebelum Covid-19 kita tahu pelanggan tu ramai. Jadi bila Covid-19 ni kita buat dalam kadar yang sedikit sebab Covid-19 orang tak keluar sangat kerana ada SOP. Persiapan tu separuh daripada yang dulu.
“Dalam sehari, jika bazar Ramadan beroperasi, saya dapat menampung ekonomi saya kerana dalam sehari tu saya dapat mengumpul sekitar RM200 hingga RM300 jika berniaga di bazar,” katanya.
Pada 31 Mac lalu Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata mana-mana gerai yang beroperasi dalam bazar Ramadan dan Aidilfitri akan diarah tutup sekiranya gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Itu antara syarat kepada peniaga bazar yang digariskan MKN selepas kebenaran beroperasi diberikan tahun ini. Operasi bazar dibenarkan antara jam tiga petang hingga lapan malam bagi Bazar Ramadan dan 10 pagi hingga 12 tengah malam bagi bazar Aidilfitri.
Sementara itu, seorang peniaga masakan panas, Kamariah Zakaria, 59, berkata bahawa dia telah membuat persiapan dari segi membayar lesen tapak dan mengambil suntikan tifoid.
“Persiapan sudah buat, tengah beli barang dan suntikan tifoid pon sudah dibuat hari ini. Pekerja saya seramai tujuh orang. Seorang saya bayar untuk satu suntikan sebanyak RM70.
“Lesen juga saya dah bayar. Dua tapak berjumlah RM490 di Bazar Melor, Kota Bharu Kelantan.
“Dari segi ekonomi, untuk tahun lepas, agak terjejas tapi saya dapat bantuan daripada kerajaan pusat,” katanya.
Seorang peniaga makanan ringan, Rosmawati Zainudin, 48, pula memberitahu bahawa kebenaran berniaga di bazar Ramadan membolehkan dia merancang persiapan hari raya.
“Jika berniaga di bazar Ramadan, dalam pendapatan tu saya boleh tampung untuk persiapan raya.
“Dengan menjual snek-snek, saya dapatlah dalam RM250 hingga RM400 sehari.
“Saya ada anak yang ramai, jadi bolehlah beli baju raya dengan pendapatan ketika berniaga di bulan Ramadan,” katanya.
You must be logged in to post a comment.