‘Tolong selamatkan saya, tolong saya’

IPOH: Seorang saksi dari Kedutaan Besar Republik Indonesia memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa dia telah dihubungi oleh seorang wanita warga Indonesia dan meminta diselamatkan.

Riki Sapari yang merupakan pegawai di bahagian pengaduan berkata, wanita yang seolah-olah dalam keadaan sedang menangis itu meminta di­selamatkan kerana mendakwa diperkosa oleh majikannya.

Katanya, panggilan tersebut diterima ketika dia berada di bahagian pengaduan di pejabat kedutaan pada 8 Julai 2019, kira-kira pukul 11 pagi.



“Pada waktu itu, mangsa terdengar seperti orang yang sedang menangis ketakutan, panik dan berkata berulang-ulang, tolong selamatkan saya, tolong saya.

“Saya meminta mangsa untuk bertenang dan berbicara dengan sedikit lambat supaya saya boleh memahami dengan jelas aduannya,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin dalam perbicaraan kes rogol bekas Exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed di Mahkamah Tinggi di sini.

Menurut Riki yang juga saksi ketiga pada hari pertama perbicaraan itu, mangsa ada me­nyatakan maklumat diri semasa perbualan itu termasuk nama, nombor pasport, tempat bekerja dan nama majikan.

Lindungi hak pengundi majoriti



Beliau berkata, wanita itu memaklumkan bahawa majikannya bernama Yong Choo Kiong, namun, beliau mengakui tidak mengenali majikan mangsa.

“Seingat saya, mangsa menghubungi saya sebanyak tiga kali. Dia meminta untuk diselamatkan kerana berada dalam ketakutan.

“Pada panggilan pertama dan kedua, saya meminta dia agar melarikan diri untuk pergi ke balai polis terdekat sementara saya melaporkan kejadian itu kepada pihak atasan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.



Tambahnya, beliau juga meng­hubungi balai polis di Ipoh dan agensi pembantu rumah wanita itu di negara ini untuk datang dan memeriksa kebenaran laporan di alamat yang diperoleh dari sistem komputer di pejabat kedutaan.

“Sekitar pukul 2 petang, saya dimaklumkan oleh agensi terbabit yang mereka sudah datang ke rumah majikan tetapi mang­sa tiada di rumah dan pihak agensi sudah membuat laporan polis,” katanya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker