Janganlah marah PAS, bro — MYKMU.NET

Janganlah marah PAS, bro



Sebaran :


oleh Mohsin Abdullah

Boleh tahan ramai juga orang yang marah dengan PAS. Kemarahan itu boleh dirasai dan tentunya dilihat dan dibaca di media sosial. Bagi mereka, gelagat dan tindakan PAS menamatkan hayat Muafakat Nasional atau singkatannya MN. Kalau belum tamat pun, PAS meletakkan gabungan itu di ambang penamat. Itu dari kaca mata mereka.

Jelas yang marah adalah penyokong kuat konsep Muafakat Nasional (yang mereka yakin wujud demi perpaduan ummah) dan menaruh harapan tinggi ke atas PAS untuk menjayakannya. Untuk memendekkan cerita, mereka marah PAS mengenepikan Umno dan memilih PPBM lantas MN terkorban.



Bagi saya kalau MN sudah tiada dan PAS kini bersama PPBM tidakkah ini bermakna wujud pula MN 2.0 sebagai ganti?

Berbalik kepada cerita kemarahan tadi. Ada juga yang marah Umno kerana pada pandangan mereka bersikap angkuh sehingga PAS “terpaksa” memilih PPMB. Betul lah tu kerana dalam sesuatu perselisihan ada dua pihak. Takkan satu pihak je yang salah.

Pun begitu yang marah dengan PAS seperti dikatakan tadi meletak harapan tinggi ke atas parti itu. Lantas tidak percaya PAS tergamak cakap bertukar-tukar nada, berenang dalam dua kolam, serta berbelit dan membelit. Sebab mereka melihat PAS sebuah parti Islam yang dipimpin ulama yang arif pasal Islam. Takkan orang agama buat itu semua? Kan mereka tahu dosa pahala? Itu persepsinya.



Terus terang saya nyatakan saya tidak setuju dan tidak berkenan akan tingkah laku PAS khusus “semenjak dua menjak” ini. Tetapi saya perlu katakan janganlah marah kepada parti itu kerana buat apa yang mereka buat. Jangan tengok PAS sebagai sebuah badan agama atau dakwah secara “total”. Sebaliknya tengoklah PAS atas sifatnya yang sebenar – iaitu parti politik.

Itu realiti dan hakikatnya. PAS sebuah parti politik dan sebagai parti politik ia akan melakukan dan melaksana apa sahaja demi keuntungan politik, kelangsungan politik, kemenangan pilihan raya, dan mencapai kuasa.

Adakah itu salah? Tidak. Semua parti politik berbuat demikian dengan matlamat yang sama. PAS pun macam mereka. Parti politik “kerjanya” main politik.



Oleh itu pemimpin PAS walaupun diakui berpelajaran tinggi dalam soal agama juga adalah orang politik. ‘Politikus’ kata sesetengah orang. Jadi mereka juga mesti dilihat sebagai pemimpin politik.

Apa pun anggapan dan pandangan kita terhadap ahli politik terpakai juga untuk pemimpin PAS.

Justeru jangan dimarahi hujah, tindakan, serta tingkah laku pemimpin PAS. Sama ada ketika mereka bermain ke sana ke sini, di kolam sana di kolam sini, sekejap berkata itu sekejap berkata ini. Itu gaya orang politik dan ditegas sekali lagi mereka sememangnya orang politik. Apa yang mereka lakukan demi kebaikan parti dan diri mereka.



Sama ada mereka bercakap benar atau berputar-putar itu soal lain. Soalnya kita kena akur kalau pemain bola main bola orang politik main politik. Termasuklah pemimpin PAS yang dilihat agamawan. Terutama sejak kebelakangan ini.

Nama asal PAS ialah Persatuan Islam Se-Malaya. Ia ditubuhkan pada 1951. Ia didaftarkan sebagai “parti Islam” pada 1955. Dikenali sebagai Pan-Malayan Islamic Party atau PMIP ketika itu.

Tidak dinafikan penubuhan PAS didokong para ilmuan agama Islam termasuk golongan alim ulama dari Umno. Ia menjadi parti pilihan orang Melayu yang berpendidikan agama. Pada peringkat awal penubuhannya PAS dianggap parti Melayu yang “memperjuangkan hal ehwal Islam”, dikatakan melebihi apa yang dilaksanakan Umno.



Pun begitu pada 1973, PAS menyertai perikatan baharu yang dikemudi Umno, dikenali sebagai Barisan Nasional. Langkah itu adalah gerak politik. PAS keluar BN pada 1978 juga kerana politik. Yakni krisis politik di Kelantan.

Sejak itu pada tahun-tahun berikutnya PAS menjalin hubungan politik dan menyertai beberapa gabungan dalam arena politik tanah air.

Bagi aktivtis Malek Hussin, “sejarah membuktikan PAS tidak lama bertahaluf dengan apa jua parti”. Selain pembabitan PAS dalam BN, Malek menyenaraikan penyertaan PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah selama enam tahun bermula 1990, PAS dengan Barisan Alternatif juga selama enam tahun bermula 1998 dan PAS dengan Pakatan Rakyat dari 2008 hingga 2015.

PAS ada juga membentuk apa yang dikenali sebagai Gagasan Sejahtera bersama parti kecil Ikatan, Berjasa dan beberapa NGO ketika PRU14 lalu.

Kesimpulannya PAS pernah berada dalam dua gabungan berbeza pada masa yang sama. Contoh terbaharu ia duduk dalam MN dan Perikatan Nasional sekali gus.

Baru-baru ini presidennya Abdul Hadi Awang menolak muafakat yang “menyeleweng daripada matlamat MN yang asal”. Lalu beliau mahu semua organisasi Islam bersatu bawah Perikatan Nasional.

Jelas langkah itu semua langkah politik.

Begitu juga slogan yang dilaungkan. Dulu kita dengar garangnya PAS dengan slogan Negara Islam. Ini diubah kepada Negara Berkebajikan. Mungkin mengikut keadaan serta suasana tertentu. Dan juga penonton.

Ahli sains politik Farish Noor berpendapat sejak PAS ditubuhkan pada 1951, matlamat jangka panjang untuk menegakkan negara Islam menjadi lampu isyarat (atau sinar) yang mengerak generasi demi generasi pemimpin dan ahli PAS ke depan. Apa yang berubah ialah makna dan kandungan penanda atau signifier negara Islam itu.

Apa pun beberapa kenalan bertanya mengapa PAS kini sudah berbeza dan mengapa Fadzil Noor dan Nik Aziz bukan seperti pemimpin PAS sekarang? Saya tidak bertanya lanjut apa maksud pertanyaan itu.

Cuma yang saya jawab ialah dulu lain sekarang lain.

Oh seperkara lagi. Jika mereka yang merasa kecewa terhadap apa yang berlaku dengan MN mengakui MN juga ialah mengenai politik, mungkin kekecewan yang dirasai dapat diubati. FMT

Bukan setakat 2 kolam, 100 kolam pun Pas sanggup masuk


Sebaran :


Leave a Reply