Ajaran Asmaul Husna dikesan masih aktif di Kelantan, giat rekrut ahli di media sosial


KOTA BHARU: Ajaran Asmaul Husna masih diamalkan sebahagian pengikut di seluruh negara termasuk di Kelantan.

Menurut salah seorang bekas pengikut ajaran berkenaan, ajaran Asmaul Husna dikembangkan dan diikuti melalui platform media sosial pada masa ini selepas mendapatkan tekanan dan difatwakan haram oleh beberapa majlis dan jabatan agama Islam negeri.

Musa (bukan nama sebenar), 59, yang ditemui Astro AWANI dua hari lalu, mendakwa pengasas ajaran berkenaan kini beralih merekrut pelajar lepasan pusat pengajian tinggi, bahkan ada di antaranya memegang ijazah PhD.

“Sebelum ini pengasas ajaran berkenaan menyasarkan golongan kakitangan kerajaan yang sudah bersara terutama membabitkan wanita serta mereka yang kurang asas agama dan pemahaman akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Ramai pengikut ajaran ini terdiri daripada mereka yang berpencen, ada antaranya berjawatan tinggi sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sebuah restoran makanan segera di Kota Bharu.

Beliau bersama isteri dan anak perempuannya antara yang turut mengikuti ajaran berkenaan tahun lalu.

Di Kelantan, markas penyebaran ajaran ini adalah di Pulau Mukhlis, Danau Tok Uban, Pasir Mas yang bermula pada awal tahun lepas.

“Pengasas ajaran ini mendapat sumbangan dan dana yang banyak daripada pengikutnya selepas seruan melalui jihad infaq yang ditekankan melalui penghayatan nama Allah.

“Pengasas berkenaan selalu menekankan mengenai infaq dan sumbangan kerana katanya, duit tak bawa ke syurga, harus digunakan di dunia,” jelasnya.

Ramai pengikut yang terpengaruh sehingga menderma dan mewakafkan harta benda mereka.

Dengan duit sumbangan itu, pengasas telah membeli tanah di pulau Mukhlis ini dengan harga lebih RM250,000 dan membelanjakan lebih RM150,000 untuk membaik pulih kawasan, bangunan yang ditinggalkan untuk dijadikan markas dan kawasan perhimpunan di Kelantan.

Musa berkata pada awal penyebaran ajaran berkenaan di Kelantan, ia diikuti 15 ahli atau pengikut setianya dan berkembang sehingga mencecah 200 pengikut terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kerjaya yang sebahagian besarnya ialah wanita.

Beliau menjelaskan, markas di pulau Mukhlis itu adalah markas kedua terbesar selepas Keratong, di Pahang.

Sepanjang markas di sini beroperasi pada Mac tahun lepas, pengasas ajaran Asmaul Husna mengadakan sesi kuliah beberapa kali dengan kali terakhir pada September tahun lepas.

Ajaran Asmaul Husna, dakwa Musa, terpesong selepas pengasasnya mendakwa kata-katanya merupakan “wahyu” atau langsung dari Allah.

Selain itu, beliau mendakwa belajar secara langsung dari Allah, membelakangkan Rasulullah dan mencipta zikir sendiri seakan akan mantera dalam bahasa Melayu.

Musa berkata, selepas menyedari ajaran yang dibawa pengasas itu terpesong daripada ajaran Rasulullah dan agama Islam, beliau terus meninggalkan kumpulan berkenaan.

Pada masa ini, beliau memaklumkan pengasas ajaran itu berjaya merekrut 16 pengikut setianya yang terdiri daripada kalangan bekas pelajar dan pemegang ijazah dari pusat pengajian tinggi.

“16 pengikut ini merupakan pengikut setianya, yang menjalankan penyebaran melalui media sosial, Instagram, Telegram dan sebagainya dengan menyasarkan golongan pelajar dan juga mereka yang cetek agama,” ujarnya.

Tinjauan Astro AWANI mendapati markas kumpulan itu di Pulau Mukhlis tidak terurus dengan bangunan yang rosak dan tidak terjaga.

Namun masih terdapat beberapa orang yang dipercayai pengikut dan penjaga kawasan berkenaan.

Menurut Musa lagi, terdapat tujuh individu masih berada di situ membabitkan tiga lelaki dan empat wanita. Awani

Pas nafi ajaran Asmaul Husna Wan Maseri ada kaitang dengannya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker