Pas nafi ajaran Asmaul Husna Wan Maseri ada kaitang dengannya · MYKMU.NET

Pas nafi ajaran Asmaul Husna Wan Maseri ada kaitang dengannya

Share

Pas Pahang mengesahkan Ahli Jawatankuasa Muslimat Kawasan Kuantan, Prof. Dr. Wan Maseri Wan Ahmad yang dikaitkan dengan ajaran meragukan sudah meletakkan semua jawatannya dalam parti tahun lalu.

Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabar berkata, Wan Maseri telah meletakkan semua jawatan yang disandangnya dalam parti itu awal tahun 2019 lagi dan bukan lagi ahli Pas.

Kata beliau, sepanjang berkhidmat dalam Pas, Wan Maseri tidak pernah membawa sebarang pendekatan ajarannya, ‘Asmaul Husna Wan Maseri Wan Mohd’ dalam organisasi parti itu.

“Untuk makluman umum, beliau telah meletakkan semua jawatannya dalam Pas awal tahun 2019 lagi. Berhubung dengan ajarannya, beliau tidak pernah membawa pendekatan ajarannya di dalam organisasi Pas.

“Bahkan, beliau dipilih sebagai calon PRU-14 adalah kerana kapasitinya sebagai ahli dan jawatankuasa Muslimat Pas Kuantan, ketika itu isu ajaran beliau belum tercetus,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan pada 15 Ogos lalu, yang membuat dan mengeluarkan keputusan memutuskan ajaran ‘Asmaul Husna Wan Maseri Wan Mohd’ sebagai bertentangan dengan agama Islam.

Kata Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, pengajaran dan pengajian dalam ajaran ‘Asmaul Husna Wan Maseri Wan Mohd’ dilarang dari disebarkan kepada masyarakat kerana didapati meragukan dan menyalahi kaedah penyampaian ilmu dan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah serta boleh membawa kepada kesesatan akidah.

Katanya, kaedah pembelajaran ‘Universiti Antarabangsa Asmaul Husna’ juga dilarang untuk diajar dan disebarkan kepada masyarakat di Negeri Sembilan.

Sementara itu, menurut Rosli, semua ajaran Wan Maseri Wan Mohd bukan silibus kepada program tarbiyah Pas kerana parti itu telah pun mempunyai silibus sendiri yang telah disusun oleh Dewan Ulama dan Lajnah Tarbiyyah Pas.

“Pas tidak pernah mengiktiraf pendekatan ajaran beliau sebagai modul sistem tarbiah parti. Selama ini beliau bergerak menyebarkan pendekatan ajarannya secara individu bukan melalui jawatannya dalam Pas dan juga bukan sebagai program parti.

“Pas menghormati semua warta yang telah dikeluarkan oleh majlis atau institusi fatwa negeri-negeri yang berkaitan pendekatan ajaran tersebut,” katanya.

Namun, kata beliau, Pas Pahang tetap mengucapkan terima kasih kepada Wan Maseri atas jasa dan pengorbanannya selama ini yang membantu perjuangan parti, termasuk kesediaannya menjadi calon Pas pada PRU-14 dua tahun lalu. MG

Pusat Syiah di Selangor bertambah, kata majlis agama Islam

Leave a Reply