PAS dan Bersatu Perak tubuh jawatankuasa manifesto negeri tanpa UMNO


Pemimpin Bersatu Perak dan PAS akan menubuhkan jawatankuasa bersama bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Perkembangan itu hadir ketika PAS kini dilihat cenderung memilih bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) berbanding Umno dalam Muafakat Nasional (MN).

Ketua Bersatu Perak Ahmad Faizal Azumu dan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata ia sebagai langkah memperkukuh kerjasama antara kedua-dua parti.

“Selari dengan itu, kami telah mengenal pasti kerusi-kerusi yang berpotensi untuk ditandingi di peringkat negeri dan membentuk jawatankuasa manifesto bagi PN negeri Perak,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.



Mereka juga berkata PAS dan Bersatu Perak sependapat untuk melangkah bersama “tanpa memberi fokus kepada keputusan parti lain”.

PAS sebelum ini dilihat tersepit antara perselisihan Umno dan Bersatu. Umno merupakan sekutu PAS dalam Muafakat Nasional (MN) sementara Bersatu merupakan rakan parti komponen mereka dalam Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pesuruhjaya PAS RAzman Zakaria
Bagaimanapun, awal hari ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata pihaknya menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat MN yang asal.

Abdul Hadi berkata demikian susulan tekanan daripada Umno agar PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu dan PN.



Umno secara rasmi mencapai keputusan memutuskan hubungan dengan Bersatu dan PAS dalam perhimpunan agung parti mereka pada hujung minggu lalu.

Sementara itu, kenyataan Ahmad Faizal dan Razman hari ini juga menegaskan sokongan kepada Muhyiddin.

“Kami juga akan terus mendokong kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan, tidak terlalu berpolitik dan akan menitik beratkan perkhidmatan kepada rakyat yang amat terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Kami berharap, semua pihak dapat memelihara perpaduan yang terjalin dengan menjaga sensitiviti sesama sendiri terutama sekali ketika mengeluarkan pandangan, kenyataan dan ucapan,” tambah mereka. Mk



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker