Wanita disyaki pengganas ditembak mati di ibu pejabat polis Indonesia — MYKMU.NET

Wanita disyaki pengganas ditembak mati di ibu pejabat polis Indonesia

Sebaran :

Seorang wanita bersenjata disyaki pengganas ditembak mati selepas melepaskan enam das tembakan di kawasan Mabes Polri (ibu pejabat polis Indonesia) di Jakarta.

Ketua Polis Indonesia, Listyo Sigit Prabowo dalam sidang media malam ini berkata suspek berusia 25 tahun itu memasuki kawasan Mabes Polri kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

“Suspek memasuki melalui pintu masuk belakang (Mabes Polri), kemudiannya melepaskan empat tembakan di satu pos kawalan di Mabes Polri, dan dua das tembakan kepada anggota polis di kawasan berkenaan, anggota polis kemudiannya bertindak menembak suspek, ” katanya yang tidak menyatakan jenis senjata api yang digunakan wanita itu.
Tiada anggota polis cedera atau terkorban dalam kejadian berkenaan.

Hasil siasatan awal mendapati suspek, berinitial “ZA” itu berideologi fahaman pertubuhan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (Daesh), dan merupakan bekas mahasiswa di sebuah institusi pengajian tinggi.

“(Hasil siasatan awal) (suspek) juga melakukan hantaran di akaun Instagramnya dalam tempoh 21 jam lepas, yang memuat turun bendera Daesh, selain itu di aplikasi “WhatsApp Group” keluarganya, suspek juga mengucapkan pamit (selamat tinggal),” katanya.

Sejak beberapa hari lepas selepas kejadian bom bunuh diri di luar sebuah gereja di Makassar, Sulawesi Selatan pada Isnin lepas, polis Indonesia mengadakan operasi besar-besaran memburu jaringan pengganas di seluruh Indonesia.

Menurut Listyo, sehingga kini sebanyak 23 suspek pengganas ditahan di beberapa kota di Indonesia termasuk lima di Jakarta.

— BERNAMA


Sebaran :

Leave a Reply

%d bloggers like this: