Patah 7 gigi kerana tegur cara pemanduan
KOTA KINABALU: Hanya kerana menegur cara pemanduan pemandu lain, seorang lelaki patah tujuh gigi selain cedera di kepala dan tangan selepas dibelasah dalam kejadian di Jalan Kolam di sini kelmarin.
Ketua Polis Kota Kinabalu Habibi Majinji berkata, kejadian berlaku kira-kira 10 malam apabila mangsa berusia 21 tahun yang memandu Honda S660 dikatakan berselisih dengan sebuah Perodua Alza.
Kata beliau, ketika berada di lampu isyarat, mangsa dikatakan menegur kenderaan bersebelahannya kerana tidak memberikan isyarat untuk masuk ke lorong laju.
“Berikutan itu, keadaan menjadi tidak terkawal sehingga pemandu Perodua Alza terbabit dikatakan bertindak memecahkan cermin kereta mangsa dengan menggunakan batang besi.
“Mengikut laporan yang diterima juga, suspek turut dikatakan memukul mangsa di kepala dan tangan menggunakan batang besi berkenaan sebelum beredar dari tempat kejadian,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.
Mangsa yang cedera dibantu orang awam keluar dari kenderaan dan dia kemudian menghubungi ahli keluarga sebelum dibawa untuk mendapatkan rawatan di hospital berdekatan.
“Suspek berusia 36 tahun itu sudah dikenal pasti dan usaha memburu sedang giat dijalankan,” kata Habibi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. FMT