Perit telinga dek jeritan ekzos

Sebaran :

“EKZOS tak membunuh, bos. Saya tak pernah dengar ada orang mati disebabkan ekzos. Tak pernah ada berita ekzos tiba-tiba terbang menikam dada pengguna jalan raya lain.” Itu hujahnya.

“Yang bahaya, yang membunuh, yang menyebabkan kematian, kecederaan dan sebagainya bukan ekzos, tapi lubang dan lopak di jalan raya tu. Yang itu lagi bahaya. Sepatutnya bagi keutamaan untuk selesaikan masalah itu bukannya memburu kami,” itu juga hujahnya.

Untuk mendengar hujahnya dengan jelas saya terpaksa memasang telinga betul-betul. Bunyi ekzos motosikalnya yang kuat dan meletup-letup itu hampir sahaja menenggelamkan suaranya dan segala bunyi yang lain.

Saya pernah muda. Pernah juga tertarik dengan bunyi ekzos motosikal yang kuat dan lain daripada yang lain. Apabila ada kawan sekampung melintas dengan motosikal yang ekzosnya dipotong dan berbunyi mendidih-didih, air liur saya menitis juga sedikit sebanyak.

Motor Honda C70 lampu bulat dengan plat BAF 400 juga pernah dimarahi jiran kerana ubah suai ekzos menyebabkan anaknya terjaga dari tidur.

Tetapi didorong oleh satu peristiwa, minat saya terhadap ekzos berubah. Waktu itu saya sakit gigi. Sakit yang teramat-amat. Hendak ke klinik gigi di Sungai Besar hari minggu dan semestinya klinik ditutup.

Jadi menggelupurlah saya dalam rumah. Segala minyak yang ada saya sapu. Minyak kayu merah, minyak geliga, malah minyak gamat.

Minyak petrol sahaja saya tidak berani bubuh. Apa sahaja petua yang terlintas, saya cuba. Berkumur dengan air garam, tonyoh dengan bawang putih yang dibakar, gigit kulit kayu manis dan kumur dengan air rendaman bunga cengkih. Semuanya tidak menjadi. Sakitnya meresap hingga ke otak dan tulang-temulang.

Waktu itulah ada sebuah motosikal GP 100 lalu di tepi rumah. Bunyi ekzosnya kuat dan nyaring. Saya yang terbaring menahan sakit terus terlompat bangun.

Kemudian sebuah motosikal lagi lalu. Yang ini bunyi ekzosnya lebih teruk. Macam bunyi isteri merajuk yang menghempas-hempas pinggan ke lantai. Ia hampir sahaja menyebabkan saya berlari ke dapur mengambil parang dan keluar mengamuk.

Kejadian itu menginsafkan saya. Baru saya terfikir bagaimana bunyi bising yang keterlaluan boleh mencetuskan gangguan, yang berkemungkinan membawa kepada kemudaratan lain. Mujurlah saat itu saya tidak mengikut kata hati, jika tidak ada keberangkalian saya terpaksa berehat di lokap beberapa hari.

Jadi, walaupun ekzos tidak membunuh atau mencederakan, namun ia boleh menjadi punca kepada tercetusnya insiden-insiden yang tidak diingini.

Contoh? Seorang kawan saya semasa remaja dahulu ditumbuk oleh seorang lelaki yang baru berkahwin. Punca? Kerana dia bermain-main dengan ekzos motosikalnya di tepi rumah pengantin itu pada waktu tengah malam, ketika pasangan itu mungkin baru hendak tidur.

Saya tidak bermaksud membantah kehendak orang muda. Saya faham pada usia muda, semua orang berhadapan dengan krisis identiti. Masing-masing berada dalam proses pencarian. Mencari personaliti sebenar yang kemudiannya akan didokong dan dikendong sehingga ke akhir hayat. Proses itu selalunya menyakitkan, kalaupun bukan kepada diri sendiri, peritnya akan dirasa oleh orang lain.

Pencarian identiti juga berkait rapat dengan ego. Atas faktor itulah wujud perlumbaan dalam kalangan orang muda untuk menunjukkan siapa lebih hebat dalam sesuatu perkara.

Kalau si A boleh menghabiskan sekotak rokok sekali duduk, B pula akan cuba menghabis dua kotak. Dia tidak peduli jika kesannya menyebabkan paru-paru hitam legam. Yang penting dia menang dan egonya menjadi lebih berganda.

Begitu juga dengan soal ekzos motosikal. Ego akan mewujudkan perlumbaan tentang ekzos siapa yang lebih mahal, siapa punya yang bunyinya lebih melantun, potongan mana yang lebih cantik. Malah, ada yang seronok dan berbangga sebab dia disaman kerana ekzos lebih banyak kali daripada kawan yang lain.

Justifikasi yang diberikan oleh peminat-peminat ekzos bising ini ialah ia bermanfaat bagi tujuan keselamatan. Pengguna jalan raya akan sedar yang ada motosikal di belakang atau di depan mereka sekiranya terdengar bunyi ekzos yang bising itu.

“Kenderaan berat seperti lori, bas dan sebagainya, mempunyai banyak ‘titik buta’. Kalau motor yang kita tunggang senyap sunyi, mereka tidak sedar kehadiran kita. Akibatnya kita mungkin terlanggar atau dilanggar,” kata seorang anak muda kepada saya.

Yang lain pula akan berkata, ubah suai ekzos dilakukan untuk meningkatkan lagi potensi sebenar motosikal. Dengan bahasa mudahnya supaya kenderaan itu menjadi lebih ‘power’. Hakikatnya banyak dalam kalangan yang kalut mengubahsuai ekzos itu tidak faham pun fungsi sebenar benda berlubang itu.

Bagi sebahagian mereka ia sekadar ‘corong’ asap, bagi yang lain pula ia cuma ‘corong’ bunyi. Sebenarnya sistem ekzos standard memikul dua tugas utama yang penting iaitu merendahkan bunyi enjin semaksimum mungkin bagi mengelakkan pencemaran bunyi dan meneutralkan asap-asap beracun yang keluar dari enjin menjadi gas yang lebih mesra alam.

Apabila ubah suai dilakukan bermakna kedua-dua fungsi utama itu terjejas. Tanpa kedua-dua fungsi itu lebih baiklah dibuang terus ekzos tersebut. Biar dunia ini hingar-bangar dan tenggelam dalam pencemaran.

Saman

Tidak ada catatan khusus tentang bila minat anak-anak muda terhadap ekzos yang berbunyi bising ini mula timbul. Tetapi saya pasti sebaik sahaja motosikal dicipta, minat itu telah ada. Ia kemudian berkembang dari generasi ke generasi, silih berganti.

Ironinya, suatu masa nanti, apabila telah dewasa, telah tua, mereka akan menjadi seperti orang lain. Marah dan bising-bising pada anak sendiri atau anak muda lain yang gemarkan ekzos yang berbunyi pelik-pelik.

Seorang sahabat saya termasuk kategori ini. Jenis orang yang sentiasa tidak puas hati dengan bunyi ekzos motosikalnya. Dia sanggup tak tukar seluar baju asalkan dapat tukar atau dapat ubah suai ekzos. Boleh dikatakan selang sebulan motosikalnya akan mengeluarkan bunyi ekzos yang berbeza.

Itu dahulu. Tetapi sekarang sahabat saya itu musuh tegar kepada semua jenis ekzos yang berbunyi bising. Budak-budak penggemar ekzos ubah suai di kampungnya sentiasa mengelak daripada berselisih dengan sahabat saya itu kerana tiada siapa sanggup mendengar ceramahnya, yang bunyinya mengalahkan ekzos juga. Puncanya kerana beliau pernah disaman kerana mengubah suai ekzos motor.

Berdasarkan undang-undang, pemilik yang mengubahsuai ekzos sehingga mengeluarkan bunyi bising boleh berdepan dengan saman sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Ia memang perit. Tetapi perit itu sebetulnya tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan perit telinga mereka yang berumah di tepi jalan raya, yang berisiko mendengar bunyi jerit pekik ekzos tanpa mengira masa.

Kasihan kepada yang beranak kecil apabila anaknya terkejut jaga disebabkan bunyi itu. Kasihan kepada orang tua yang berisiko diserang sakit jantung atas sebab sama.

Kerajaan juga pada saya tidak harus meletakkan kesalahan ke atas pemilik dan penunggang motosikal semata-mata. Ia harus meliputi pemilik motokar dan kenderaan lain.

Dan yang lebih penting, ambil tindakan terhadap kedai aksesori, kedai ekzos dan mekanik atau mana-mana juga pihak yang menawarkan perkhidmatan ubah suai ekzos. Merekalah punca penyakit yang sebenar. Tiada siapa yang boleh minum air ketum jika tiada yang menanam, menjual dan memprosesnya.#dush


Sebaran :

Leave a Reply