Warga Emas dalam kelaparan dakwa ditinggal di tepi jalan selepas dipukul
Seorang lelaki ditemui duduk bersendirian di tepi jalan di Kampung Sompo, Lenggeng di sini pada Isnin dan dipercayai ditinggalkan seseorang di kawasan terbabit.
Seorang kakitangan Klinik Kesihatan Lenggeng, V Yogeswaran, 30, yang berada di lokasi berkata, lelaki yang dianggarkan berusia 50-an itu ditemui oleh orang awam dalam keadaan kelaparan kira-kira jam 3 petang.
“Saya cuba tanya nama dan umurnya, tapi dia cakap tak pasti. Dia mendakwa ada orang yang ‘buangnya’ di situ selepas dihantar dengan van berwarna putih,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata, tiada pengenalan diri ditemui bersama lelaki berkenaan dan sebagai tindakan, Klinik Kesihatan Lenggeng telah menghantarnya ke Hospital Tuanku Jaafar di sini, untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, beliau juga telah menghubungi Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Lee Koon mengesahkan telah menerima kes lelaki terbabit dan mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengesan pengenalan diri termasuk warisnya.
You must be logged in to post a comment.