Angkara rendang ayam, warga emas dipukul suami


AMPANG JAYA – Hanya kerana lambat memasak rendang ayam yang diminta, seorang wanita warga emas cedera selepas bergelut dengan suaminya sendiri dalam satu kejadian di rumah mereka di Jalan Pinang, Kampung Melayu di sini pada 21 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, suspek yang berusia 67 tahun turut menampar pipi isterinya yang berusia 66 tahun sebelum pertengkaran berlarutan hingga ke bilik tidur.

“Suspek kemudiannya telah bertindak duduk di atas badan isterinya termasuk meludah muka wanita itu dan mahu mencekik mangsa, namun wanita itu telah melawan mengakibatkan terjadinya pergelutan sehingga jatuh dari katil.

“Susulan pergelutan itu, wanita berkenaan mengalami sakit pada badan dan terdapat lebam pada dagu sebelah kanan, namun dia tidak dapat memastikan puncanya,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.



Menurutnya, suspek yang merupakan seorang pesara Felda menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis yang memerlukan suntikan insulin empat kali sehari.

“Siasatan yang dilakukan mendapati wanita berkenaan tinggal di rumah tersebut bersama suami dan ibu mertuanya yang lumpuh berusia 86 tahun.

“Mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian pada 25 Mac lalu dan tangkapan ke atas suspek telah dibuat kira-kira pukul 6 petang tadi,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama satu tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut. K Online



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker