Lelaki didakwa pukul bekas Adun akan dihadapkan ke mahkamah


Seorang lelaki yang didakwa memukul bekas Adun Air Putih Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid bakal dihadapkan dengan dua pertuduhan.

Ketua Polis Terengganu Roslee Chik berkata, suspek yang merupakan kawan kepada Wan Ahmad Nizam, akan didakwa mengikut Seksyen 326 dan Seksyn 427 Kanun Keseksaan, atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan dan melakukan khianat.

Siasatan kes itu selesai minggu lalu, katanya.

“Timbalan Pendakwa Raya baru saja memulangkan kertas siasatan kepada polis semalam.

“Kami diminta merujuk kes ini kepada (Pejabat Peguam Negara) Putrajaya dan suspek akan didakwa mengikut Seksyen 326 dan 427 (Kanun Keseksaan),” katanya kepada Malaysiakini.

Roslee berkata mangsa mengalami keretakan tulang berdekatan pinggang akibat serangan itu.

Kejadian ini menjadi perhatian pada minggu lalu selepas media melaporkan polis sedang menyiasat seorang bekas Adun di Pantai Timur kerana didakwa mencabul isteri kawannya, tahun lalu.

Susulan itu, Wan Ahmad Nizam tampil menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa dia tidak pernah bermalam di rumah kawannya itu, di Ampang, Selangor.

Dia juga mendakwa kawannya yang berhutang dengannya itu menumbuknya sebanyak dua kali serta membaling pasu bunga bertubi-tubi ke arahnya ketika pergi ke rumahnya di Kemaman, Terengganu untuk berbincang soal hutang tersebut.

“Saya maklumkan padanya untuk melaporkan kejadian itu kepada polis dan dia mengugut saya agar tidak berbuat demikian atau dia akan membuat sesuatu yang boleh memalukan saya dan tiba-tiba keluar cerita saya mencabul isterinya,” dakwanya.

Wanita itu membuat laporan polis terhadap Wan Ahmad di Ampang.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Daerah Ampang Mohamad Farouk Esha.

Wan Ahmad Nizam menjadi Adun Air Putih selama sepenggal setelah menang dalam PRU 2004. Dia juga pernah menjadi setiausaha politik bekas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said. Mk

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker