UMNO tawar model Ekonomi Patriotisme, perkasa pembangunan negara pasca pandemik


KUALA LUMPUR, 28 Mac — UMNO menawarkan model ekonomi baharu, dikenali sebagai Ekonomi Patriotisme yang boleh dijadikan asas kepada kerangka model ekonomi untuk pemerkasaan pembangunan negara pasca pandemik COVID-19.

Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ekonomi patriotisme bermatlamat memberi keadilan ekonomi kepada seluruh rakyat di samping membina negara yang stabil.

“Berbanding sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Malaysia merupakan negara yang mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi tertinggi serta penerima pelaburan asing terbesar di rantau Asia.

“Sekarang kita kian ketinggalan. Negara jiran menerima limpahan pelaburan walaupun mereka turut dilanda pandemik COVID-19,” katanya di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden bertajuk ‘Kestabilan UMNO Kesejahteraan Malaysia’ pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di sini.

Beliau berkata berdasarkan Laporan Bank Dunia, Malaysia berada di belakang negara-negara ASEAN lain dari segi pelaburan dan pembangunan.

Ahmad Zahid berkata menurut laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia telah jatuh sebanyak 56 peratus pada 2020.

Manakala laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCTAD) menyatakan kadar penurunan pelaburan asing ke Malaysia adalah sebanyak 68 peratus, katanya.

Perhimpunan Agung UMNO 2020 berlangsung selama dua hari, bermula semalam.

Kira-kira 2,600 perwakilan menghadiri perhimpunan tahunan itu di WTC KL dan secara maya di 190 Bahagian Umno di seluruh negara.
BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker