OSB Global Resources sasar wujudkan 1,000 usahawan burger tahun ini


JOHOR BAHRU, 28 Mac — Syarikat burger bumiputera, OSB Global Resources Sdn Bhd menyasar untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 1,000 usahawan burger di seluruh negara tahun ini terutama dalam kalangan belia dan yang terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif OSB Global Resources, Muhammad Dinie Mohamed berkata bagi mencapai sasaran itu, pihaknya menawarkan ‘Pakej Bajet’ dan ‘Pakej Medium’ kepada usahawan yang berminat.

“Pakej Bajet berharga RM5,000, manakala Pakej Medium bernilai RM10,000. Pihak syarikat akan menyediakan gerai, peralatan, barangan, e-dompet, peranti dan bimbingan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata sehingga kini, syarikat yang diasaskan sejak 2014 bersama isterinya, Nur Khalijah Zaidan, itu telah berjaya mewujudkan 103 usahawan burger dengan 100 gerai burger di seluruh Johor dan tiga di Melaka.



“Sebanyak 86 gerai burger diusahakan oleh usahawan bimbingan OSB Global Resources, manakala selebihnya diusahakan kakitangan syarikat ini,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selama tujuh tahun.

Muhammad Dinie berkata OSB Global Resources merancang untuk mengembangkan perniagaan ke Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan selain mengukuhkan jenamanya di Johor.

Sebagai rekod, syarikat berkenaan menamakan burger mereka sebagai Street Burger Official (SBO) dan pada 2017 ia ditukar nama kepada Official Street Burger (OSB).

Syarikat itu kini memiliki bangunan dengan mercu tanda sendiri iaitu Wisma OSB di Iskandar Puteri yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad pada Ahad.



Dalam kenyataan sama, Mohd Izhar berkata kerajaan negeri mengalu-alukan mereka yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan tersebut.

Beliau berkata kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai kemudahan geran perniagaan dan insentif bantuan kepada orang ramai khususnya yang mengalami pendapatan terjejas dan yang ingin memperoleh pendapatan tambahan berikutan pandemik yang melanda negara.
BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker