PAS perlu buat keputusan jadi kawan atau lawan, kata Pemuda Umno


PAS perlu menyatakan pendirian dengan jelas sama ada bersetuju dan akan mengikuti jejak Presiden PPBM Muhyiddin Yassin untuk bertanding di semua kerusi Parlimen, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf berkata, pendirian dan keputusan PAS itu penting bagi membolehkan Umno khususnya mengenali lebih awal siapakah kawan yang akan dapat membantu dan bersama-sama parti itu dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan siapakah lawan yang akan ditentangi.

“Kita akan terus pertahankan Muafakat Nasional (MN) tetapi sudah tentu kita harus bertanya pada sahabat kita PAS, memandangkan pendirian Pengerusi PPBM untuk bertanding di semua kerusi yang ditandingi oleh kita, adakah mereka akan bersama dengan kita atau sebaliknya.

ADVERTISING

“Ini penting. Sebelum masuk gelanggang perang kita kena tahu siapa musuh dan kawan, kawan yang tidak tikam belakang, kawan yang akan bersama sehingga ke penghujungnya,” katanya dalam ucapan penggulungan sayap Pemuda Umno di Perhimpunan Agung Umno 2020, hari ini.

PAS sebelum ini membuat ketetapan untuk meneruskan kerjasama di antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan ketika ini, sambil memperkasakan hubungannya dengan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN).

Terdahulu, Muhyiddin menggesa Umno supaya tidak ghairah mengenai pengagihan kerusi sehingga menutup terus ruang untuk PPBM bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Muhyiddin berkata, PPBM tidak mahu kelihatan “angkuh” namun jika terpaksa partinya sanggup menghadapi Umno jika parti itu nekad mahu membolot kerusi yang dipertandingkan pada PRU15 nanti.

“Kalau begitu, kalau dia (Umno) ambil semua, saya pun ambil semua. Satu lawan satu, satu lawan dua, satu lawan tiga. Inilah politik,” kata Muhyiddin.

Asyraf berkata, pengumuman Muhyiddin itu menurutnya dilihat selaras dengan ketetapan dan suara dibangkitkan sayap pemuda yang bersetuju dengan ketetapan Majlis Kerja Tertinggi Umno yang bersetuju untuk memutuskan kerjasama dengan Umno.

“Saya perhatikan ada enam negeri yang jelas meminta buat keputusan jelas, supaya putuskan hubungan dengan PPBM. Naib Ketua Pemuda Umno Shahril Sufian Hamdan juga sebutkan perkara hampir serupa, kita tidak boleh bergantung harap pada orang lain,” katanya.

ADVERTISING

Pada masa sama, Asyraf turut mengajak pucuk pimpinan tertinggi parti belajar dengan dengan sayap parti itu, yang masih tetap utuh dan kukuh walaupun mempunyai perbezaan pandangan.

“Ambillah model pemuda hari ini. Kita boleh berbeza pandangan tetapi tidak pernah tembak kaki sendiri. Mana pernah dengar kenyataan sesama pemuda yang berantakan. Ini perlu dijadikan iktibar, Umno kena kukuhkan parti, masuk gelanggang dengan kuat dan bermaruah,” katanya. FMT

https://mykmu.net/2018/04/04/mca-kawan-dap-lawan/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker