Penganggur joli duit anak RM1,000 sebulan beli dadah


SEBERANG PERAI – Anak membanting tulang di Singapura manakala ayah joli wang yang dikirimkan bagi pengedaran dan penagihan dadah.

Itu sikap seorang lelaki berusia 56 tahun sejak setahun lalu yang menghabiskan RM1,000 setiap bulan bagi mendapatkan bekalan dadah jenis syabu dan ganja.

Kegiatan lelaki itu terbongkar selepas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pulau Pinang menyerbu sebuah pangsapuri di Bukit Mertajam lewat malam tadi.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Pulau Pinang, Aina Rafida Abu Bakar berkata, bertindak atas maklumat pihaknya menyerbu rumah sewa yang didiami suspek sebelum menemui syabu dan ganja yang dipercayai untuk kegunaan sendiri dan pengedaran.

aadk4
Pegawai AADK Pulau Pinang menemui syabu dan ganja dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Mertajam.
Kata beliau, hasil siasatan mendapati rumah berkenaan turut dijadikan lokasi melepaskan gian susulan tangkapan dua penagih berusia 50 dan 60-an di dalam unit kediaman terbabit.

“Hasil soal siasat suspek yang menghidap penyakit darah tinggi itu mengaku menggunakan perkhidmatan e-hailing bagi tujuan pengedaran dadah susulan dirinya tidak mampu berjalan jauh.

“Selain itu, suspek juga mendakwa tidak bekerja dan menggunakan wang yang dikirim anaknya bagi mendapatkan bekalan dadah.

“Lelaki itu memperuntukan RM1,000 setiap bulan untuk mendapatkan bahan terlarang itu,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan malam tadi.

Dalam serbuan itu pihak AADK turut merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk menghisap syabu serta alat penimbang dan bungkusan lut sinar dipercayai untuk kegiatan pengedaran dadah.

Dalam perkembangan sama, Aina Rafida memberitahu, seramai 70 penagih ditahan di sekitar Pulau Pinang menerusi Ops Perdana.

“Ops Perdana selama lima hari yang berakhir esok dilakukan bagi mengesan penagih di sekitar negeri ini.

“Rata-rata yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 40 tahun dan kebanyakan mereka positif dadah jenis syabu,” ujar Aina Rafida. MG

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker