Jalil Rasheed ambil alih 70 juta saham BCorp


Berjaya Corporation Bhd (BCorp) mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulannya yang baru dilantik Abdul Jalil Abdul Rasheed telah mengambil alih 70 juta saham BCorp dengan harga 28 sen sesaham.

BCorp dalam kenyataan hari ini berkata pengambilalihan itu bersamaan dengan 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan lima bilion saham syarikat itu.

“Pengambilalihan kepentingan ekuiti dalam BCorp oleh Abdul Jalil mempamerkan tadbir urus korporat yang baik, beliau sebagai CEO kumpulan dan pemegang saham minoriti akan bertindak demi kepentingan syarikat dan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata sebagai pemegang saham dan CEO kumpulan, ia akan membolehkannya melakukan perubahan dengan insentif yang tepat.

Beliau berkata ia juga merupakan undi percaya dalam syarikat itu dan menunjukkan keseriusan dalam fasa penginstitusian yang sedang dilakukan oleh syarikat tersebut.

“Saya mengambil peranan sbagai CEO kumpulan ini untuk melakukan transformasi BCorp. Berdasarkan pengalaman saya, projek sebesar ini dapat mendapat pencapaian terbaik apabila pemimpin diberi insentif dan seiring dengan semua pemegang saham minoriti,” katanya.

Abdul Jalil dilantik sebagai CEO Kumpulan BCorp pada 16 Mac, sebelum ini beliau memegang jawatan sebagai Presiden dan CEO Permodalan Nasional Bhd. Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker