‘Datuk’ didakwa ubah wang haram lebih RM8 juta


Seorang lelaki berpangkat Datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 16 pertuduhan melupus, memindah dan menerima wang yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melebihi RM8 juta.

Ahmad Azwan Aboo Mansoor, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, tertuduh didakwa melupuskan wang berjumlah RM815,863.06 yang merupakan hasil aktiviti haram daripada akaun simpanan bank miliknya di Bank Islam Malaysia Berhad, cawangan Taman Melawati antara April 2016 hingga April 2018.

Azwan turut berdepan lima pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM3,020,299.98 yang merupakan hasil aktiviti haram daripada akaun simpanan bank miliknya ke satu lagi akaun banknya dan dua akaun bank masing-masing milik seorang lelaki dan sebuah syarikat di tempat sama antara 11 Jun 2016 hingga 20 Dis 2017.



Dia juga didakwa atas empat pertuduhan menerima wang berjumlah RM4,180,396.59 yang merupakan hasil aktiviti haram ke dua akaun simpanan banknyadi Bank Islam Malaysia Berhad, cawangan Taman Melawati dan Malayan Banking Berhad, cawangan Taman Setiawangsa antara 10 Dis 2016 hingga 9 Mac 2018.

Semua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Zainal, manakala tertuduh diwakili peguam Harjinder Singh.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes. FMT



Belanjawan 2021 apa yang anda dapat?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker