Isu pengampunan Najib: Perjumpaan khas UMNO dengan semua ketua bahagian jam 4 petang ini

Perjumpaan khas tertutup Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama ketua UMNO bahagian petang ini dijangka akan membincangkan mengenai perkembangan berkaitan Datuk Seri Najib Razak.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, berkata semua 191 ketua UMNO bahagian mendapat jemputan mengenai perjumpaan itu semalam.

Beliau berkata, sehingga kini 150 ketua UMNO bahagian menyatakan persetujuan untuk hadir, manakala yang lain tidak dapat berbuat demikian kerana komitmen lain.



“Perjumpaan khas tertutup ini dijangka membincangkan mengenai perkembangan politik semasa termasuk isu Datuk Seri Najib,” katanya kepada BH.

Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, di laman sosialnya memaklumkan mengenai perjumpaan khas tertutup itu yang dijadual diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur jam 4 petang nanti.

MKT UMNO semalam turut mengadakan mesyuarat sebelum mencapai ketetapan untuk meneruskan usaha mendapatkan pembelaan terhadap Najib yang juga bekas Presiden parti itu.

Mesyuarat berkenaan juga bersetuju pembelaan itu adalah sesuai dengan laras undang-undang negara, selain berpegang pada keputusan Perhimpunan Agung UMNO berhubung pengampunan bekas Perdana Menteri itu.



Sebelum ini, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, mengumumkan Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, denda perlu dibayar Najib turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun, sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar, pula berkata pihaknya tidak pasti berhubung intipati pertemuan yang dijadualkan petang ini.



“Baru semalam dimaklumkan untuk hadir perjumpaan dengan Presiden, namun saya tidak boleh menjawab sebab perjumpaan belum berlaku,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker