Mahkamah Rayuan kekal hukuman penjara 18 tahun kontraktor sumbang mahram terhadap anak tiri
PUTRAJAYA: Seorang kontraktor yang melakukan sumbang mahram terhadap anak tirinya yang masih di bawah umur ketika ibunya bersalin di hospital memulakan hukuman penjara 18 tahun hari ini.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil berkata tiada merit dalam rayuan kontraktor terbabit.
“Hakim Mahkamah Tinggi tidak silap dalam menentukan bahawa perayu bersalah,” kata Karim bersama panel Vazeer Alam Mydin Meera dan M Gunalan.
Mahkamah kemudian mengeluarkan waran perintah supaya lelaki itu dibawa ke penjara Pengkalan Chepa kerana prosiding hari ini adalah muktamad.
Mahkamah turut menolak rayuan balas oleh pihak pendakwaan untuk menambah hukuman penjara.
Tahun lalu, hakim Mahkamah Tinggi di Kota Bharu menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang kontraktor yang kini berusia 55 tahun.
Kesalahan bawah Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan sebatan.
Terdahulu, timbalan pendakwa raya Wong Poi Yoke mengemukakan bahawa hukuman penjara 25 tahun adalah lebih sesuai.
Kontraktor terbabit melakukan kesalahan itu pada 9 Jun 2014 terhadap seorang gadis berusia 15 tahun, 7 bulan di sebuah rumah di daerah Kota Bharu.
Mahkamah menolak rayuan pihak pendakwaan atas tuduhan serupa yang kedua di mana lelaki berkenaan didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap gadis itu pada Jun 2016 di sebuah rumah di daerah Bachok.
Pada 2019, Mahkamah Sesyen, membebaskan lelaki itu daripada kedua-dua tuduhan tersebut.
Menurut fakta kes, kontraktor itu mengahwini ibu mangsa, yang mempunyai tiga anak daripada perkahwinan sebelumnya, sebagai isteri kedua.
Gadis itu pada mulanya memberitahu ibunya apa yang berlaku tetapi tiada laporan dibuat kerana kontraktor terbabit menafikannya.
Pada 2017, ketika berkunjung ke rumah bapa kandungnya di Kuala Lumpur, dia menceritakan kejadian itu kepada sepupunya.
Bapanya kemudian membawa gadis itu membuat laporan polis, dan memulakan siasatan.
Bukti perubatan menunjukkan bahawa gadis itu telah diserang secara seksual.
Peguambela Shukri Mohamed berkata, sabitan itu tidak selamat kerana laporan dibuat selepas tiga tahun.
Kita dah bayar! Tajuddin nafi Prasarana tak bayar kontraktor projek LRT3
You must be logged in to post a comment.