Remaja cuba bunuh diri gara-gara ditegur bapa main video game

Sebaran :


KUANTAN – Seorang remaja perempuan cuba membunuh diri dengan terjun dari jejambat di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak hanya kerana ditegur bapanya kerana terlalu obses bermain permainan video.

Bagaimanapun cubaan membunuh diri remaja berusia 16 tahun itu di kilometer 46 lebuh raya itu, berhampiran Bukit Tinggi, gagal setelah polis berjaya memujuk beliau.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt. Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya mendapat maklumat insiden tersebut daripada orang awam pada jam 2.12 petang.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis yang diketuai oleh Ketua Polis Balai Bukit Tinggi, Sarjan Mejar Maznan Omar bergegas ke tempat kejadian,” katanya.

Setibanya di lokasi kejadian, anggota polis mendapati remaja yang dipercayai mengalami kemurungan itu sedang meniti di atas jejambat di lebuh raya tersebut, ujarnya.

Berikutan itu, kata beliau, pihaknya menghubungi bomba untuk memberi bantuan di lokasi dengan menggunakan peralatan salvage sheet di bahagian bawah jejambat.

“Polis beberapa kali dan terus memujuknya supaya bertenang dan pada ketika itulah Ketua Polis Balai Bukit Tinggi berlari ke arah mangsa dan terus menariknya ke belakang.

“Pada masa yang sama dibantu oleh anggota polis lain untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.

Menurut Zaiham, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada daripada bapa mangsa yang menegurnya sering bermain permainan video dalam telefon dan bertindak merampas telefon bimbit remaja itu.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan serta pemeriksaan kesihatan lanjut.

“Sekiranya disabitkan kesalahan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.” MG

Anak pukul ibu bapa dengan kayu hanya kerana ditegur buat bising


Sebaran :

Leave a Reply