Rafizi dan Izzah akan kembali – Anwar
Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, dia akan cuba memujuk tokoh seperti Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli untuk kembali aktif dalam politik bersama parti itu.
“Orang ini kita akan pujuk semula untuk balik kepada perjuangan dan landasan parti.
“Walaupun kedegilan mereka boleh tahan tetapi tidak melanggar hukum. Saya hormati prinsip mereka,” katanya dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia yang disiarkan hari ini.
Tambah Anwar, kedua-dua personaliti itu merupakan pemimpin yang ada sifat ketokohan.
Nurul Izzah dan Rafizi telah melepaskan jawatan mereka dalam parti susulan pertelingkahan dalaman PKR sebelum ini.
Pada Disember 2018, Nurul Izzah mengundurkan diri sebagai naib presiden PKR, jawatan yang dimenanginya dengan undian tertinggi dalam pemilihan parti.
Rafizi yang kerap mengkritik perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad, juga telah bergerak perlahan dalam parti namun kembali aktif ketika melawan Mohamed Azmin Ali bagi merebut jawatan timbalan presiden PKR.
Dia kalah tipis tetapi dilantik semula sebagai naib presiden PKR. Namun, Rafizi memilih untuk bersara daripada politik.
Mungkin harus lepas cita-cita
Kemudian, Azmin pula berpaling tadah dengan menyertai Bersatu sejurus menyaksikan penghijrahan ramai pemimpin dan ahli PKR yang lain.
Selain itu, Anwar berkata, Rafizi bertindak mengundurkan diri dari persada politik kerana kecewa melihat beberapa pemimpin yang cenderung mengaut keuntungan dan menghakis prinsip perjuangan parti.
“Rafizi ini bukan ingin sangat bertanding jawatan timbalan presiden tetapi dia melihat ada sesuatu yang tidak kena dalam parti.
“Apabila melihat Pakatan Harapan (PH) sudah menjadi kerajaan (selepas PRU14), ada segelintir yang meminggirkan individu yang baik-baik dan melantik individu yang tidak sepatutnya,” katanya.
Kerajaan PH runtuh setelah Azmin bersama Bersatu dan pihak pembangkang mengambil alih Putrajaya pada Feb tahun lalu.
Penghijrahan pemimpin PKR termasuk pemimpin tinggi turut memperlihat kelemahan parti itu.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa ‘pengkhianat’ tidak akan berjaya.
Mengulas berhubung kegagalan mencapai cita-citanya sebagai perdana menteri, Anwar menjawab: “Belum lagi”.
Anwar malah menjelaskan, dia masih calon perdana menteri dalam PH serta akan memegang jawatan tersebut sekiranya diberikan peluang oleh rakyat.
Bagaimanapun, pemimpin berusia 74 tahun itu mengakui, dia mungkin harus melepaskan cita-citanya untuk menjadi perdana menteri jika mencapai usia tertentu.
“Janganlah sampai 95 tahun pun hendak jadi PM,” katanya.
Meskipun tidak menyatakan nama, kenyataan Anwar seakan merujuk kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Anwar turut menjelaskan hubungan PKR baru-baru ini dengan puak Umno tertentu bukan hanya bertujuan untuk mengambil alih kerajaan namun ia bagi kepentingan bersama dalam negara.
Jelas anggota parlimen Port Dickson itu, dia telah berjumpa dengan sejumlah pemimpin Umno dan hasilnya “positif”.
Bagaimanapun, Anwar enggan menyatakan nama pemimpin Umno terbabit.
“Perbincangan ada, perbincangan yang tak rasmi dengan pimpinan parti, dan ia hanya perbincangan awal. Tapi dalam perbincangan awal ini, apa yang saya dapat kesan? Ia satu yang positif.
“Sebab kita lebih faham mereka (Umno), dan mereka lebih faham kita,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut.