Pemilihan DAP Perak, Kem Keluarga Nga-Ngeh sapu bersih, Kem Kula-Su Tumbang

Pasukan dua sepupu, Nga Kor Ming dan Ngeh Koo Ham menyapu bersih jawatan dalam pemilihan DAP Perak.

Terdahulu, kem yang menggandingkan bekas menteri sumber manusia, M Kulasegaran dan Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su, mendakwa wujud unsur ‘pengundi hantu’ semasa pemilihan itu.

Pasukan Nga-Ngeh memenangi semua pertandingan 15 jawatan dalam jawatankuasa DAP negeri hari ini.

Nga dan Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar masing-masing seri dengan 1,228 undi, manakala Ahli Parlimen Taiping, Teh Kok Lim menduduki tempat ke-15 dengan 1,102 undi.

Ngeh menduduki tempat keenam dengan 1,216 undi. Sementara itu, Adun Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari berada di tempat ketiga dengan meraih 1,224 undi.

Sebanyak 1,735 kertas undi dikeluarkan hari ini.

Para pemimpin tersebut yang menentang kem Kula-Su masing-masing mendapat 540 dan 550 undi.

Terdahulu, kem Kula-Su mendakwa, jawatankuasa yang mengendalikan pemilihan masih meminta perwakilan menghadiri konvensyen meskipun waktu pendaftaran sudah berakhir.

 

Mereka turut mendakwa segelintir perwakilan dilihat memakai tanda nama bertulis tangan, dan bukannya pengenalan yang dihasilkan menerusi cetakan komputer.

Pada jam 1 tengah hari ini Malaysiakini difahamkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengadakan pertemuan dengan Kulasegaran dan Su untuk membincangkan pertikaian berhubung proses pengundian.

Lim meminta kedua-dua ahli parlimen terbabit memasuki bilik VIP di pusat konsvensyen berkenaan untuk berbincang kira-kira jam 12.35 tengah hari.

Ia berlangsung kira-kira 15 minit. Bagaimanapun Kulasegaran tidak memberikan sebarang komen kepada media, manakala Su berkata dia yakin pemilihan parti akan berlangsung secara adil dan telus.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker