Bekas Ketua Polis Negara menamatkan zaman duda
Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menamatkan zaman duda apabila memilih Pengarah Kanan (Keusahawanan & Perniagaan) Institut Koperasi Malaysia, Puan Sri Noraesyah Shaari sebagai teman hidupnya pada majlis di Kampung Tua, Lambor Kanan, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohamad Fuzi dan Noraesyah selamat diijabkabulkan di sebuah masjid di Seri Manjung, Manjung, kira-kira 11 pagi semalam.
Majlis perkahwinan pasangan itu berlangsung secara sederhana di rumah keluarga Mohamad Fuzi di Kampung Tua, Lambor Kanan, hari ini, dengan mengikut norma baharu.
Turut hadir, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso.
Mohamad Fuzi berkata, beliau gembira kerana dapat disatukan dengan isteri biarpun majlis dilakukan dalam suasana norma baharu.
“Kerana jodoh, saya dan isteri ditakdirkan bertemu sebelum bersetuju untuk sama-sama mengakhirinya dengan ikatan perkahwinan.
“Alhamdulillah, semua urusan berjalan lancar dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) dan terima kasih kepada semua yang membantu, hadir dan mendoakan kami,” katanya ketika ditemui.
Noraesyah berkata, dia juga bersyukur ditemukan jodoh dengan Mohamad Fuzi dan majlis mereka berjalan lancar.
Sementara itu, adik bongsu Mohamad Fuzi, Noor Hafizah Harun, 52, berkata, mereka sekeluarga gembira abang bertemu teman hidup yang berasal dari Pantai Remis, Manjung selepas hampir empat tahun kematian isteri.
“Kami sangat gembira abang sudah ada teman hidup. Sudah ada yang temankan dan jaga dia selepas ini,” katanya.
Untuk rekod, Mohamad Fuzi dilantik sebagai KPN menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 4 September 2017 sebelum bersara wajib pada Mei 2019.
Isteri Mohamad Fuzi, Puan Sri Azizah Hamdi meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Disember 2017.
https://mykmu.net/2017/09/04/fuzi-harun-dilantik-ketua-polis-negara-ke-11/
You must be logged in to post a comment.