Maut akibat ditoreh pisau, ditikam dengan botol arak

Sebaran :


Kuala Lumpur: Dendam lama dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan individu di Jalan Telawi 3, Bangsar, di sini, yang meragut nyawa seorang lelaki, awal pagi tadi.

Malah, kejadian kira-kira jam 1 pagi itu turut menyebabkan seorang lagi lelaki cedera parah.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 28 tahun minum minuman keras bersama rakannya berusia 30 tahun di sebuah kedai di Jalan Telawi, di sini.

“Ketika dalam perjalanan ke tempat letak kenderaan, mangsa dan rakannya terserempak dengan kumpulan suspek sebelum berlaku pergaduhan.

“Mangsa ditoreh di bahagian badan dengan menggunakan pisau dan ditikam dengan botol arak oleh suspek.

“Mangsa yang cedera akibat serangan itu kemudian melarikan diri ke arah sebuah pusat beli-belah dan terjatuh di hadapan sebuah kedai serbaneka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) oleh rakannya dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Rakan mangsa pula dilaporkan parah akibat cedera di bahagian muka dan masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Motif kejadian itu dipercayai akibat dendam lama antara mangsa dan suspek. Seramai lima suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302/326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan cedera parah.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini dinasihatkan membantu pihak polis bagi melengkapkan siasatan dengan menyalurkan maklumat dan tidak membuat sebarang spekulasi.

“Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi satu minit 36 saat menunjukkan beberapa individu bergaduh di lokasi berkenaan tular di media sosial, hari ini. HM


Sebaran :

Leave a Reply