Pelajar sekolah antara ditahan terlibat proses, seludup arak


TANGKAK – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara sembilan individu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam sindiket pemprosesan dan penyeludupan minuman keras di daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd. Fadhil Minhat berkata, dalam serbuan di dua lokasi berasingan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri di sini, kesemua individu berusia antara 17 hingga 40-an itu diberkas bersama 36 tong biru berisi cecair dipercayai arak.

“Dalam serbuan pertama pukul 7 malam, di Kawasan Perindustrian Bukit Gambir di sini, polis merampas sejumlah 5,600 liter cecair dipercayai arak yang disimpan dalam 28 buah tong biru serta sebuah lori.

“Hasil serbuan turut menahan empat lelaki warga tempatan termasuk seorang remaja yang masih bersekolah berusia 17 tahun.

“Siasatan lanjut mendapati, sindiket ini beroperasi sejak lapan bulan dimana kesemua cecair arak akan diisi ke dalam botol sebelum diedar untuk dijual,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di sini hari ini.

Menurutnya, dalam serbuan kedua pada pukul 11.50 malam di Bukit Serampang, Sagil di sini turut menemui lapan buah tong berkapasiti 1,600 liter cecair dipercayai arak.

Mohd. Fadhil berkata, pols turut menahan seorang lelaki tempatan dan empat warga Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 40-an.

Jelasnya, sebuah alat kawalan jauh pintu pagar, sebuah mesin penutup botol, sembilan botol berisi arak berkapasiti 3.37 liter dan 1,359 botol arak kosong pelbagai jenis dirampas.

“Siasatan terperinci mendapati sindiket ini baru sahaja aktif sejak dua ke tiga bulan lalu. Kita percaya kedua-dua serbuan ini ada kaitan dan kemungkinan didalangi sindiket yang sama berikutan rampasan tong dan botol arak adalah jenis sama,”katanya.

Kesemua suspek warga tempatan kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tiga hari bermula hari ini, manakala warga Indonesia pula direman di bawah Seksyen 51(5)(B) Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari.

Mohd, Fadhil berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 74 Akta Eksais 1976 iaitu perbuatan melarikan duti eksais dan mengilang secara menyalahi undang-undang bagi barang berduti.

Manakala, suspek warga Indonesia turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen sah ketika berada di Malaysia. K Online

Leave a Reply