Suami mabuk tendang, pukul isteri mengandung selepas diajak balik rumah mertua

Gara-gara enggan dibawa menziarahi rumah mertua, seorang kaki botol sanggup menendang isterinya yang sedang mengandung dua bulan di bahagian pinggang di sebuah rumah panjang di Jalan Lanang Barat pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, 18, dan suspek berperang mulut di dalam bilik tidur selepas dia mengajak suaminya untuk pulang ke rumah ibu bapanya di sebuah rumah panjang di Bawang Assan.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit (gambar) berkata, mangsa ditendang oleh suaminya, 19, di bahagian pinggang sebelah kiri dan juga memukul betis kanan menggunakan topi keledar hingga menyebabkan cedera lebam.

Katanya, suspek sekali lagi bertindak memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar dan menampar telinga kanan mangsa ketika berada di rumah jiran mereka pada jam 3 petang, hari yang sama.

“Suspek turut melafaz cerai kepada mangsa dengan syarat, mangsa perlu menggugurkan kandungannya sebelum beredar daripada rumah jirannya itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, suspek datang semula dengan membawa sebatang pen dipercayai untuk mencederakan isteri tetapi dihalang oleh suami jiran tersebut sementara mangsa pula bersembunyi di dalam bilik yang dikunci.

Siasatan awal pihak polis mendapati mangsa dan suspek berkahwin secara adat pada 2 Jun lalu.

“Hanya mangsa dan suspek sahaja berada di rumah ketika kejadian pertama itu. Selepas suspek keluar, mangsa melarikan diri ke rumah jirannya di mana kejadian kedua berlaku itu,” dedah beliau.

Stanley memberitahu kejadian kedua disaksikan oleh keluarga jiran mangsa.

Menurutnya lagi, polis kini sedang menjejaki suspek yang masih bebas.

“Punca kejadian, dipercayai suspek di bawah pengaruh alkohol dan marah kerana isterinya mengajaknya pulang ke rumah mentua. Suspek juga dikatakan sering memukul mangsa jika mabuk,” katanya lagi.

Kes disiasat di bawah jenayah kekerasan Seksyen 324 Kanun Keseksaan, tambah beliau. UB

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker