AJL-35: Seramai 55 artis buat ujian calitan Covid-19

Sebaran :

Penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah membuat ujian calitan dan pemeriksaan secara pandu laju. - NSTP/Rohanis Shukri
Penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah membuat ujian calitan dan pemeriksaan secara pandu laju. – NSTP/Rohanis Shukri

 

KUALA LUMPUR: Mengendalikan ujian saringan COVID-19 terhadap 55 artis merangkumi finalis dan selebriti yang terbabit dalam penganjuran Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35 yang bakal disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Auditorum Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ahad ini, bukanlah mudah.

Menjadikan faktor keselamatan, kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) tanpa kompromi, produksi AJL35 akur syarat ditetapkan MBSA yang mahu semua finalis, artis dan kru yang terbabit dalam acara anugerah berprestij itu melakukan pemeriksaan bagi memastikan setiap seorang, bebas COVID-19.

Semalam, Pusat Perubatan Management and Science University (MSU), Shah Alam, dikunjungi semua artis terbabit bagi menjalani ujian calitan, bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Antara kelibat artis dilihat melakukan pemeriksaan secara pandu lalu itu adalah Nabila Razali, Zizi Kirana, Hael Husaini, Ayie Floor 88, Datuk Jamal Abdillah, Misha Omar dan Dayang Nurfaizah.



Turut menjalani ujian calitan, hos AJL35 iaitu Awal Ashaari, Sherry Alhadad dan Haziq Hussni.

Semua artis ini perlu disahkan bebas daripada gejala COVID-19 sebelum dibenarkan memasuki Audtorium MBSA untuk menjalani latihan, mulai esok, iaitu lima hari sebelum berlangsungnya AJL35.

Penerbit Eksekutif AJL35, Nurhul Huda Khalid, berkata artis yang didapati positif selepas menjalani ujian calitan, tidak boleh menyertai sesi latihan dan perlu mencari pengganti.

“Kami akan memulakan sesi latihan apabila selesai ujian calitan dan keputusan diterima. Jadi, diharapkan ujian calitan ini dapat mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.



“Ramai orang tidak tahu, untuk mendapatkan permit dan kebenaran pihak berwajib adalah perkara yang sangat mencabar dalam merealisasikan acara ini.

“Jadi, kami sangat berharap proses ujian calitan yang dapat memberikan kelancaran kepada AJL35,” katanya kepada HIP.

Nurhul Huda berkata, ujian calitan sepatutnya tidak perlu dilakukan jika mengikut ketetapan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun, MBSA mahukan produksi melakukannya.

“Langkah ini diambil kerana kita mahu mengelak berulangnya kes lalu di mana, salah seorang peserta Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-35, Alif Satar disahkan positif COVID-19 selepas beraksi,” katanya kepada BH Online.



 

Penyanyi, Zizi Kirana yang bakal mempersembahkan lagu Eh melakukan ujian calitan di Pusat Perubatan Management and Science University (MSU), Shah Alam. - NSTP/Rohanis Shukri
Penyanyi, Zizi Kirana yang bakal mempersembahkan lagu Eh melakukan ujian calitan di Pusat Perubatan Management and Science University (MSU), Shah Alam. – NSTP/Rohanis Shukri

 

Nurhul Huda berkata, pada malam kemuncak AJL35, hanya 250 orang dibenarkan berada dalam Auditorium MBSA.

Selain itu, dalam aspek persembahan, hanya enam orang dibenarkan berada di atas pentas.

“Jadi, tiada lagi sekumpulan penari mengiringi persembahan finalis kali ini. Itulah yang menjadi antara cabaran menjayakan AJL35.

“Namun, biarpun kita sudah mengecilkan skala acara kali ini, semangat untuk berjuang berkobar-kobar.

“Saya harap semua yang dirancang dapat direalisasikan dengan baik dan lancar,” katanya sambil menambah hampir 90 peratus persiapan teknikal sudah disempurnakan.

Sementara itu, Ketua Unit Jabatan Kecemasan Pusat Perubatan MSU, Dr Imran Khan Jallaldeen, 32, berkata, keputusan ujian calitan akan dimaklumkan dalam tempoh kurang 24 jam.

“Ujian calitan ini dikendalikan secara pandu lalu bagi memudahkan barisan finalis dan artis.

“Keputusan ujian juga tidak mengambil masa lama iaitu kurang sehari selepas calitan diambil,” katanya.

 

Penyanyi, Nabila Razali yang empat kali membuat ujian calitan menyokong usaha TV3 memastikan keselamatan dan kesihatan petugas AJL35. - NSTP/Rohanis Shukri
Penyanyi, Nabila Razali yang empat kali membuat ujian calitan menyokong usaha TV3 memastikan keselamatan dan kesihatan petugas AJL35. – NSTP/Rohanis Shukri

 

Dr Imran Khan turut berterima kasih atas kerjasama serta sokongan semua pihak termasuk finalis dan artis sepanjang proses saringan itu.

“Ujian calitan ini adalah langkah baik sebelum latihan dimulakan. Dengan adanya proses ini, kita sama-sama dapat membendung penularan COVID-19,” katanya.

Sementara itu, vokalis kumpulan Floor 88, Ayie berharap COVID-19 segera pulih agar syarat ujian calitan tidak diperlukan lagi.

“Bagi kami yang perlu mengambil ujian calitan ini setiap kali terbabit dengan mana-mana program, tidak dinafikan, agak meletihkan.

“Jadi, saya harap kita semua segera mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.

Penyanyi, Nabila Razali yang sudah empat kali membuat ujian calitan pula menyokong usaha TV3 memastikan keselamatan dan kesihatan petugas AJL35.

AJL35 berlangsung tanpa penonton bagi mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Seramai 12 finalis akan bersaing pada malam kemuncak AJL35 dengan lagu terbaik diangkat sebagai Juara Lagu.


Sebaran :

Leave a Reply