Makmal tanpa klinik, hospital tidak boleh buat ujian calitan

 

KUALA LUMPUR: Makmal persendirian tanpa klinik atau hospital tidak dibenarkan menawarkan khidmat ujian calitan COVID-19 kepada orang ramai termasuk menerusi kaedah pandu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ketika dihubungi BH berkata makmal yang menawarkan khidmat sedemikian hanya dibenarkan beroperasi, sekiranya memenuhi syarat tertentu.

“Makmal sepatutnya tidak menjalankan swab test (ujian calitan) secara pandu lalu, melainkan makmal berkaitan berdaftar dengan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) di bawah atau secara bersama klinik atau hospital swasta.

“Makmal persendirian tanpa klinik atau hospital adalah tidak dibenarkan,” katanya, hari ini.

CKAPS ditubuhkan pada Februari 2003 bagi memantau, mengawal dan mengawal selia kemudahan serta perkhidmatan jagaan kesihatan swasta.

Pengoperasian cawangan itu berlandaskan penguatkuasaan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan akta-akta yang berkaitan, dengan kemudahan serta perkhidmatan jagaan kesihatan swasta, dari semasa ke semasa.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Datuk Dr M Subramaniam, semalam menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyiasat makmal persendirian yang menawarkan khidmat ujian saringan COVID-19, secara pandu lalu.

Tindakan itu perlu kerana kerana makmal persendirian berkenaan didakwa bukan kemudahan kesihatan dan berbeza dengan hospital kerajaan serta swasta.

Media sebelum ini melaporkan seorang pesakit COVID-19 berusia 49 tahun, yang disahkan positif pada 5 Januari lalu, selepas menjalani ujian saringan secara pandu lalu, kendalian makmal swasta.

Laporan itu menyebut, selain wanita berkenaan, lima lagi ahli keluarganya termasuk ibu dan bapa mentuanya yang berusia 78 tahun turut disahkan positif.

Bagaimanapun, selama tiga hari selepas disahkan positif, tiada petugas kesihatan menghubungi keluarga terbabit, selain mereka tidak menerima sebarang panduan atau dihubungi semula pihak swasta yang menjalankan ujian pandu lalu berkenaan.

Perkhidmatan ambulans bagi membawa ahli keluarga yang disahkan positif dan mempunyai gejala COVID-19 juga tidak dihantar ke kediaman mereka.

Semakan BH di laman web rasmi KKM mendapati aktiviti penguatkuasaan, mencakupi aspek pendaftaran dan pelesenan kemudahan serta perkhidmatan jagaan kesihatan swasta boleh dijalankan CKAPS yang bernaung dengan kementerian.

Ia memandangkan tanggungjawab pentadbiran berhubung aspek itu yang sebelum ini dijalankan Cawangan Mediko Legal, dikembalikan semula ke CKAPS pada 5 Januari 2009.

Leave a Reply