Tokan dadah diberkas selepas dikejar 20 kilometer dari sekatan jalan raya — MYKMU.NET

Tokan dadah diberkas selepas dikejar 20 kilometer dari sekatan jalan raya

Sebaran :

SLIM RIVER: Polis berjaya memberkas seorang lelaki selepas dia melarikan diri daripada pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) di Tol Slim River, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, suspek berjaya diberkas selepas dikejar lebih 20 kilometer.

Menurutnya, kejadian bermula kira-kira jam 10.30 malam apabila sebuah kereta jenis Inspira yang dinaiki seorang lelaki telah melarikan diri dari SJR di Tol Slim River menghala ke utara.
“Sepasukan polis IPD Muallim telah mengejar kenderaan suspek dan berjaya ditangkap di hadapan Balai Polis Sungkai. Suspek dan kenderaan tersebut telah dibawa balik ke Balai Polis Slim River,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sulizmie Affendy berkata, hasil pemeriksaan telah menjumpai satu beg berwarna hitam kelabu mengandungi pelbagai jenis barangan.

Antara barangan itu ialah satu paket plastik lutsinar berisi serbuk/ketulan disyaki dadah jenis methamphetamine, 25 paket plastik lutsinar berisi serbuk/ketulan berwarna kemerahan disyaki dadah jenis heroin, satu bekas kaca yang telah diubahsuai disyaki alat untuk menghisap dadah dan satu ikat plastik lutsinar disyaki untuk membungkus dadah.



Polis turut menjumpai satu ikat wang kertas RM362 dan wang kertas nilai bercampur-campur dolar Singapura berjumlah S$19 serta satu unit telefon bimbit.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah adalah sebanyak lebih kurang RM2,500,” ujarnya.

Menurutnya, hasil semakan rekod lampau, suspek berumur 43 tahun yang bekerja sebagai ‘towing runner’ itu didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Suspek direman enam hari mulai hari ini sehingga 14 Mac depan.



Kes disiasat di bawah Seksyen 39B, 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di samping Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.


Sebaran :

Leave a Reply

%d bloggers like this: