Ibu mangsa runtuhan jejambat terima faedah Perkeso

SABAK BERNAM: Ibu kepada Nor Hayati Abdullah, 42, mangsa tragedi runtuhan jejambat pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Kuala Lumpur dekat sini menerima Faedah Orang Tanggungan di bawah Skim Bencana Kerja daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hari ini.

Hasmah Sohor, 77, menerima RM840 setiap bulan sepanjang hayat dan penambahan RM2,000 bagi pengurusan jenazah.



Hasmah berkata, dia bersyukur apabila kakitangan Perkeso hadir memaklumkannya menerima faedah susulan kejadian menimpa anak bongsunya itu.

“Saya sehingga kini masih terbayang lagi arwah ada bersama keluarga dan hanya keluar bekerja. Masih teringat lagi, juadah terakhir yang dia masak iaitu ikan bawal emas kerana arwah sangat sukakannya.

“Teringat ketika kali terakhir dia balik ke sini, dia membeli barang keperluan harian lebih daripada yang selalu dibelinya. Kami sekeluarga pasti merasai kehilangannya terutama hari raya kerana dia rajin membantu di dapur.

“Insya-Allah dengan duit yang diterima ini saya akan mengadakan kenduri doa selamat untuknya kerana hanya ini yang mampu dilakukan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.



Terdahulu, Pengarah Perkeso Selangor, Zainol Abu hadir menyerahkan wang dan bantuan berbentuk keperluan harian kepada Hasmah di rumahnya di Kampung Jerang Belanga, Bagan Terap, Sungai Besar, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zainol berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan dan pengisian dokumen dilakukan serta didaftarkan di bawah Skim Keilatan (Pencen Penakat) untuk pemprosesan Faedah Pengurusan Mayat.

“Kita mendapati waris mangsa layak mendapat Faedah Orang Tanggungan kerana kemalangan dalam perjalanan tempat kerja.

“Perkeso berharap dengan adanya faedah ini dapat membantu mengurangkan beban keluarga yang terkesan dengan pemergiannya anaknya,” ujarnya.



Rabu lalu, dua pekerja kilang maut manakala tiga termasuk pemandu van lagi cedera dalam tragedi runtuhan berkenaan.

Nor Hayati dilaporkan maut di lokasi kejadian bersama seorang lagi rakannya, Nuriana Edwin Abdullah, 47, selepas van kilang yang dinaiki dihempap runtuhan binaan berkenaan ketika sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dalam kejadian kira-kira pukul 5.58 petang. – UTUSAN ONLINE

[VIDEO] Dua wanita maut, tiga selamat tragedi runtuhan jejambat SUKE -Polis



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker