Terus maju, lupakan Mahathir, kata pemimpin DAP kepada Amanah
Seorang pemimpin DAP menggesa agar Amanah, sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH), untuk kekal bersatu dan melupakan Dr Mahathir Mohamad di kala pembelotan yang sedang terjadi dalam gabungan itu.
Kata ahli jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau, kepada FMT, walaupun situasi pembelotan tidak ideal, apa yang penting adalah semua masih berada dalam PH.
Ini berikutan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Amanah di Johor keluar daripada parti dan menyertai PKR, tindakan yang menyebabkan beberapa pemimpin Amanah menyeru supaya hubungan dengan PKR dikaji semula.
Boo berkata, beliau difahamkan terdapat beberapa pihak dalam Amanah yang masih memandang tinggi terhadap Mahathir berbanding ketua pembangkang Anwar Ibrahim, dan ini telah menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan pihak lain dalam parti.
Terdahulu, Setiausaha Pemuda PKR Syukri Razab mendakwa bahawa Amanah masih tidak tenteram kerana beberapa pemimpinnya memilih untuk berbaik-baik dengan Mahathir walaupun masih berada dalam PH.
“Anwar adalah pemimpin kita yang tidak dipertikaikan. Kita harus mengikut arahannya dan berpegang kepada prinsip PH.
“Tidak boleh ada lebih daripada satu ‘kuda’ menarik ‘kereta sorong’ PH atau ia akan pergi ke arah yang berbeza-beza,” kata Boo.
“(Prinsip) PH adalah tentang kepelbagaian budaya, kita harus menerima hakikat bahawa ini bukan yang diinginkan Dr Mahathir dan ia terbukti apabila dia menyokong Kongres Maruah Melayu tanpa berunding dengan pemimpin PH yang lain.”
Sementara itu, Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, budaya lompat parti adalah petanda buruk bagi PH, terutamanya bagi Amanah.
Beliau berkata, ia hanya membuatkan Amanah kelihatan lemah dan memberi gambaran bahawa tidak semuanya baik dalam parti.
“Ia juga boleh membawa kepada pertikaian tentang kerusi kerana penyandang mungkin masih mahu mempertahankan kedudukan mereka.
“PH perlu menangani isu ini. Mereka harus menyatakan pendirian mereka mengenai isu lompat parti dalam gabungannya,” kata beliau.
James Chin daripada Institut Asia, University of Tasmania berkata, para pemimpin PH mesti menangani isu ini kerana ia akan menimbulkan rasa tidak percaya dan dapat membawa kepada kejatuhannya.
“Apa yang harus dilakukan oleh PH – dan ia masuk akal – adalah mencapai persetujuan mengenai dasar dan garis panduan tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh parti komponen,” kata beliau.
95
Shares
facebook sharing buttontwitter sharing buttonwhatsapp sharing buttonemail sharing button
Subscribe to our n