DAP tak mampu gerak sendiri tanpa perkudakan PKR-PAN
Guan Eng beri ‘hint’ konon mahu Anwar guna hubungan baik dengan Zahid pelawa BN sertai PH
DAP sedar bahawa parti – rasis dan cauvinis – itu tidak mampu bergerak sendiri tanpa sokongan atau ‘memperkudakan’ rakan komponennya PKR dan Parti Amanah Negara (PAN).
Justeru, tidak mustahil kenyataan pemimpinnya, Lim Guan Eng adalah ‘isyarat’ kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menggunakan hubungan baik dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mempelawa Barisan Nasional (BN) menyertai Pakatan Harapan (PH).
Sebelum ini, Guan Eng mendakwa PH berpeluang mentadbir semula jika gabungan parti itu memperoleh sokongan 15 peratus pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, ia berdasarkan satu dapatan kajian yang menyatakan situasi itu boleh berlaku sekiranya jumlah peratusan berkenaan ditambah dengan pengundi bukan Melayu.
Dakwanya, ia sekali gus memungkinkan PH memperoleh 35 peratus undi dan mentadbir semula negara.
“Kajian itu turut menunjukan jika BN keluar Perikatan Nasional (PN), BN mampu mendapat 35 lebih peratus undi Melayu dan masing-masing 15 peratus buat PH dan PN,” dakwanya.
Mengulas perkara itu, Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim berkata, Guan Eng mungkin menyedari hasrat mempelawa BN -UMNO, MCA dan MIC – menyertai PH bukanlah kekangan yang paling besar.
“PH mempunyai harapan untuk memerintah sekiranya BN menyertai PH dan pimpinan UMNO yang sedang kepanasan dengan kes-kes mahkamah juga akan terasa selesa sekiranya BN menyertai PH, di samping dapat meredakan kekalutan merebut kerusi berbanding bersama PN sekarang.
“Hakikatnya, beginilah jadi jika mana-mana parti sudah menjadi ‘ladang bercucuk tanam’ bagi individu yang rakus dan tamak,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata, parti terbabit bukan lagi membawa suara dan agenda ummah, tetapi sudah ‘diperkudakan’ oleh pemimpin tertentu yang menggunakan parti demi kepentingan diri.
“Sebutlah parti apa sekali pun, sekiranya parti itu memperjuangkan agenda parti dan individu maka mencari jalan selamat untuk kepentingan parti atau individu adalah peluang padanya, walaupun terpaksa meninggalkan agenda rakyat atau ummah,” katanya.