Beza pendapat dalam PAS tak sampai wujud gerakan guling Hadi, kata penganalisis


Seorang penganalisis politik berkata, perbezaan pendapat dalam PAS tidak akan sampai tahap berlaku perpecahan besar sehingga wujud gerakan untuk menjatuhkan Abdul Hadi Awang sebagai presiden.

Kamarul Zaman Yusoff daripada Universiti Utara Malaysia berkata, berdasarkan pemerhatiannya yang mengikuti perkembangan dalam parti itu secara dekat, dakwaan PAS menghadapi krisis dalaman sehingga wujud dua kumpulan dikenali sebagai “Geng Publika” dan “Geng Ustaz” seperti tersebar di media sosial, dicipta pihak luar.

“Nampaknya berlaku sedikit ‘ribut’ apabila ia disambut segelintir ahli PAS di peringkat bawahan. Keadaan ini menjadi lebih tegang dan mendapat perhatian kerana PAS tahun ini akan mengadakan pemilihan dalam parti.

“Jadi, setakat saya perhatikan memang ‘Geng Publika’ dan ‘Geng Ustaz’ tidak wujud dalam PAS sebab pemimpin PAS walak (setia) kepada pucuk pimpinan,” kata beliau kepada FMT.

Media sebelum ini melaporkan wujud satu rakaman audio yang didakwa perbualan antara Pengarah Strategi PAS Mohd Khairuddin Aman Razali dan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkenaan tindak tanduk Hadi selaku presiden.

Khairuddin yang juga setiausaha Majlis Syura PAS didakwa tidak berpuas hati dengan keputusan Hadi berkaitan kerjasama antara PAS dengan PPBM dan Umno serta pelbagai isu dalaman lain.

Ia kemudiannya membawa kepada dakwaan wujudnya dua kumpulan dalam PAS.

Geng Publika, yang dikatakan pro-PPBM, terdiri daripada Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, manakala Geng Ustaz yang didakwa berpihak kepada Umno terdiri daripada Khairuddin dan Ahli Jawatankuasa PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Bagaimanapun, pemimpin PAS, termasuk Khairuddin sendiri menafikan wujud gerakan terancang “dari dalam” untuk menjatuhkan Hadi.

Kamarul Zaman berkata, mungkin wujud perbezaan pendapat di peringkat bawahan, di mana ada tiga kumpulan – yang mahu parti itu kekal dalam Muafakat Nasional (MN), yang mahu ia kekal dalam Perikatan Nasional (PN), dan yang ingin melihat PN dan MN bergabung.

“Bagaimanapun, pandangan rasmi PAS ketika ini mahu memperkasakan MN dan memperkukuhkan PN itu jelas,” kata beliau.

Kata beliau, tidak mungkin golongan profesional seperti Samsuri dan Takiyuddin yang sangat rapat dengan Hadi akan menentang Ahli Parlimen Marang itu.

“PAS kalau mahu menukar presiden, ia perlu melalui Majlis Syura Ulama terlebih dahulu dan majoriti PAS dikuasai ulama.

“Sejak 1982, ulama yang memimpin PAS disokong golongan profesional, jadi saya tidak nampak golongan profesional akan menyasarkan kedudukan presiden,” kata beliau.

Bekas pensyarah pusat pengajian sains dan kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain yang juga berkongsi pandangan sama berkata, majoriti ahli PAS mahu golongan ulama terus menerajui parti, tetapi ia tidak bermakna PAS tidak memerlukan golongan profesional.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan, seperti parti lain, PAS tidak boleh lari daripada konflik, termasuk kewujudan kumpulan pro-Umno dan pro-PPBM.

“Oleh kerana Hadi begitu ‘masak’ dengan politik dalaman parti itu, beliau dapat kawal keadaan, selain berupaya memberikan tempat dan kedudukan kepada pemimpin PAS dalam kerajaan,” katanya sambil menambah, sekiranya jika terdapat tentangan, ia sukar untuk menjatuhkan Hadi.

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan percaya wujudnya perbezaan pendapat membabitkan dua kumpulan yang mahu bersama Umno atau PPBM, tetapi ia tidak dinyatakan secara terbuka.

“PAS sinonim dengan kepimpinan ulama. Jadi, jika wujud komplot (kumpulan bukan ulama), ia tidak akan dibuat secara terang-terangan untuk menjatuhkan presiden kerana akar umbi sukar menerimanya.

Beliau tidak menafikan kemelut dalam PAS ketika ini disebabkan parti itu tersepit antara dua pilihan, antara Umno atau PPBM. FMT

Beza arak dan rasuah, sama seperti beza bodoh atau gila – Hadi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker