Hebat Jep Sepahtu! Anak Kedua Baru Lapan Bulan, Sari Yanti Hamil Lagi!
Baru sahaja menimang cahaya mata kedua lapan bulan lalu, pelakon Sari Yanti mengesahkan dirinya kini hamil anak ketiga.
Perkongsian tersebut dikongsi Sari, 37, menerusi InstaStory ketika mengadakan sesi Ask Me Question bersama pengikutnya.
Sari atau nama sebenarnya Sari Yanti Datuk Mohamad Nazari mendedahkan dia berbadan dua selepas ditanya sama ada benar atau tidak khabar angin mengenai dirinya yang kini sedang hamil.
“Betul ke kak Sari mengandung lagi?,” soal salah seorang pengikut kepada pelakon drama Kisah Kaisara itu.
Enggan berselindung, isteri kepada Jep Sepahtu itu berkata dia kerap ditanya peminat berhubung soalan sama sejak akhir-akhir ini.
Pada masa sama, Sari turut mendedahkan kehamilannya kali ini merupakan yang ketujuh baginya. Dia mengakui pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali sebelum ini.
Pada Februari 2019, Jep pernah berkongsi berita sedih mengenai isterinya mengalami keguguran ketika kandungan berusia tiga bulan.
Menurut Jep, dia mengetahui bayi dalam kandungan isterinya menghadapi masalah selepas membuat pemeriksaan di hospital.
Dalam pada itu, Sari turut berkongsi pertanyaan daripada netizen yang ingin mengetahui mengenai alahan ketika hamil.
Kata Sari, individu tersebut sepatutnya bersyukur dan sentiasa berkiran positif walaupun terpaksa baring sepanjang tempoh kehamilan.
“Alhamdulillah awak ada masa untuk bercinta dengan tilam. Ada orang idam sangat tapi tak boleh sebab kena jaga rumah dan anak-anak juga.
Memang mengandung tak mudah tapi jangan kira letih badan, sakit belakang atau pinggang.
“Supaya boleh saja buat apa-apa macam biasa dan tak lemah semangat, terpaling penting berdoa pada Allah untuk bantu dalam perjalanan kehamilan. Insya-Allah,” ujarnya.
Terdahulu, desas-desus mengenai kehamilannya mula mendapat perhatian netizen apabila fotonya bersama pelakon Scha Alyahya memperlihatkan dirinya seolah-olah sedang berbadan dua.
Untuk rekod, Sari mendirikan rumah tangga bersama Jep pada Februari 2017 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Dariya Inara, 3, dan Muhammad Khidir yang kini berusian lapan bulan.
Hasil perkahwinan terdahulu, Sari turut mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Barr Al Aliy, 11, dan Baasit Al Haq, 10. -K! ONLINE
Sape Suruh Awak Terima Pinangan Saya Dulu. Padan Muka Kau”– Mamat Sepah