Penganut gocoh, salah faham tokong diroboh; 4 ditahan polis (Video)

Penganut gocoh, salah faham tokong diroboh; 4 ditahan polis

Keadaan huru-hara tercetus di luar sebuah tokong di Cheras di sini apabila sekumpulan penganut bertindak liar kerana beranggapan pihak berkuasa mahu merobohkan premis itu.

Bagaimanapun pihak polis meleraikan keadaan tegang itu selepas tiga jam. Empat individu ditahan, kata Ketua Polis Daerah Cheras Muhammad Idzam Jaafar.

Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lin memaklumkan pemberita, kejadian itu sekadar salah faham antara penganut tokong dengan pihak berkuasa melibatkan pagar di tepi jalan.

Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Yap berkata, penganut tokong beranggapan pihak berkuasa datang ke Tokong Wong Low Shen See Chee How, untuk merobohkannya.

Katanya, penganut di situ serta anggota jawatankuasa tokong cuba menghalang mereka.

Dalam video berdurasi 76 saat yang dikongsikan di laman Facebook Tokong Wong Low Shen See Chee How, lebih 10 individu dilihat memegang kayu berlari ke arah sebuah jentolak.

Dalam video lain pula, pihak polis dilihat berunding dengan beberapa individu dari tokong berkenaan untuk mententeramkan keadaan.

Yap mendakwa empat individu yang ditahan termasuk dua lepasan sekolah.

“Mereka dibawa ke Balai Polis Salak Selatan,” kata Yap dengan menambah jawatankuasa tokong akan mengeluarkan kenyataan lebih terperinci.

Sementara itu, Fong berkata keadaan itu sekadar “salah faham” berikutan ahli jawatankuasa tokong mendirikan pagar sepanjang rizab jalan yang menuju ke kawasan tanah di belakang tokong berkenaan.

“Keadaan berjaya diredakan selepas saya tiba di situ. Saya bercakap dengan Ketua Polis Daerah (Izham) dan meminta pihak tokong serta penganut berkenaan diberi sedikit masa dan ruang,” katanya.

Sebentar tadi, Idzam mengesahkan polis menahan empat individu berumur antara 19 tahun hingga 50 tahun bagi membantu siasatan.

Kes di siasat dibawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan. Idzam menegaskan tiada sebarang tindakan “untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian tersebut.”

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam,” kata beliau. FMT

Penganut gocoh, salah faham tokong diroboh; 4 ditahan polis (Video)


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Mat Sabu tegur Anwar hina kerajaan disokong ulama, sekali Azalina mencelah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker