Kompaun maksimum RM50,000 wajar, tepat pada masanya – KPN
KUALA LUMPUR: Tindakan menaikkan kadar kompaun maksimum RM50,000 terhadap syarikat melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan dan kawalan COVID-19 adalah wajar serta tepat pada masanya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata kompaun hingga RM10,000 bagi individu pula akan meningkatkan aspek pematuhan orang awam terhadap SOP ditetapkan.
“Individu berulang kali melanggar SOP perlu mengambil serius isu kompaun baharu ini.
“Penganjur himpunan atau perjumpaan sosial secara haram dan pemilik premis hiburan secara terbuka melanggar SOP juga perlu takut dengan kadar maksimum kompaun itu,” katanya kepada BH hari ini.
Semalam, media melaporkan individu melanggar peraturan atau SOP ditetapkan bagi pencegahan COVID-19 akan berdepan kompaun sehingga maksimum RM10,000.
Syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama pula boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM50,000.
Ketika ini, individu dan syarikat yang melakukan kesalahan itu hanya dikenakan kompaun maksimum RM1,000.
Abdul Hamid berkata, polis sentiasa tegas dalam menguat kuasa undang-undang, terutama membabitkan kesalahan ingkar SOP.
“Tempoh beri amaran dan nasihat untuk mereka yang melanggar SOP sudah berakhir.
“Tindakan lebih tegas akan dilaksanakan menunjukkan polis serius dalam usaha membendung penularan jangkitan ini. Orang awam juga perlu berperanan patuh kepada SOP sedia ada,” katanya.