Janna dakwa diugut bunuh

Sebaran :

a man and a woman looking at the camera: Janna ketika tampil pada sidang media virtual mengenai kontroversi artis K-pop, petang tadi. Foto IG Janna Nick
© Provided by Berita Harian Janna ketika tampil pada sidang media virtual mengenai kontroversi artis K-pop, petang tadi. Foto IG Janna [email protected]

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Janna Nick, 26, mendakwa menerima ugutan bunuh rentetan kontroversi artis K-pop yang hangat diperkatakan netizen, sejak akhir-akhir ini.

Janna atau nama sebenar, Nurul Jannah Munner, berkata beberapa ugutan bunuh diterima selepas dia didakwa mengeluarkan komen yang konon ditulisnya sendiri, dalam kontroversi berkenaan.

“Selepas saya nyah aktif akaun media sosial, ada individu mengeluarkan kenyataan konon saya membalas komen seseorang yang menegur saya untuk tidak mempersendakan individu yang sudah meninggal dunia.

“Individu terbabit menulis saya ada membalas komen dengan ayat ‘Ustaz peminat K-pop eh, jangan taksub sangat’. Saya anggap perkara ini memfitnah saya.

“Saya dianiaya kerana ayat (komen) itu langsung tidak dikeluarkan atau dinyatakan dalam akaun media sosial saya.

“Saya menerima banyak kecaman berpunca daripada ayat ini. Saya menerima beberapa ugutan bunuh dan disebabkan itu, terpaksa melaporkannya kepada polis,” dakwanya pada sidang media virtual di sini, hari ini.

Yang turut hadir, peguambela dan peguamcara, Ben Syazmin dari Tetuan Tan Norizan & Associates.

Janna memberitahu, dia mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang memulakan provokasi dan fitnah sehingga menjejaskan namanya.

“Kami sudah membuka kes di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas ugutan jenayah diterima… Polis masih menjalankan siasatan,” katanya.

Janna turut memohon maaf apabila dikatakan mempersendakan bintang Kpop, Lalisa Manoban sebagai Lisa ‘Blackpig’ dalam promosi telefilem Delen.

“Bagi isu Lisa ‘Blackpig’, saya sebagai pengarah dan produser untuk telefilem Delen mengambil tanggungjawab memohon maaf kepada semua yang terguris hati dengan kapsyen berkenaan,” katanya.

Ditanya apakah kontroversi tercetus memberi kesan besar kepada karier seni, Janna tidak menafikannya.

“Memang ada kesan… Disebabkan itu, kami ambil tindakan untuk mengenakan tuntutan pampasan kepada pihak yang memulakan provokasi hingga isu menjadi besar dan tidak dapat dikawal,” katanya.

Sebagai pengacara program hiburan, Melodi, Janna menafikan menggunakan kedudukan itu untuk mencetuskan kontroversi dengan sengaja.

“Saya tidak pernah anggap sebagai pengacara Melodi, saya ada kebebasan mencipta kontroversi kerana ia datang dari pelbagai pihak, bukan saya.

“Jadi, saya ingin menyatakan penerbit Melodi dan TV3 faham situasi yang berlaku selepas saya menjelaskan perkara sebenar,” katanya.

Sementara itu, Ben berkata, siasatan terhadap ugutan bunuh yang diterima anak guamnya masih dilakukan pihak berkuasa.

“Ugutan bunuh adalah suatu jenayah yang sangat serius. Perkara ini masih di dalam siasatan polis, jadi lebih baik kita tunggu hasil siasatan daripada memberi komen.

“Selepas membuat laporan polis, Janna sudah dipanggil untuk memberi keterangan dan dirakamkan,” katanya.

Sejak minggu lalu, Janna menjadi sasaran netizen hingga namanya tular di laman sosial, Twitter sehingga wujudnya tanda pagar #JannaNickGoingToJailParty.

Kontroversi tercetus apabila Janna didakwa mempersendakan Lisa membabitkan salah satu watak telefilem pertama arahannya, Delen, yang dikatakan menggunakan nama Lisa Blackpig.

Insiden itu berlaku ketika Janna mempromosikan Delen di Instagram.

Janna turut dikecam apabila video lama yang mengaitkannya dengan kematian anggota kumpulan Shinee, mendiang Kim Jong-Hyun pada 2018, yang disensasikan semula.

Dalam kontroversi itu, Janna dituduh mempersendakan kematian bintang K-pop terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd


Sebaran :

Leave a Reply