Kisah manis ‘sugar baby’

Sebaran :

PETALING JAYA: Platform laman sesawang dan mudah alih Sugarbook menjadi tumpuan minggu lalu, dengan pengasasnya mendakwa lebih ramai pelajar universiti terbabit dalam perdagangan “sugar baby-sugar daddy” akibat pandemik Covid-19.

Pengasasnya ditahan dan beberapa ahli politik tampil dengan gesaan supaya laman web itu diharamkan. Tetapi, ia akan menghentikan perdagangan itu?

Tidak, kata dua wanita yang pernah terbabit dalam industri itu. Mereka berkata, cabang industri bawah tanah itu panjang dan banyak, dengan jaringan mendalam di kalangan elit politik dan swasta.

“Pada pendapat saya, pengharaman Sugarbook tidak akan menjadi isu kepada mereka yang sudah biasa kepada keadaan itu atau ‘sugar daddy’ yang sebenarnya sangat kaya. ‘Sugar bowl’ itu sudah lama wujud sebelum era internet lagi,” kata seorang wanita itu.

“Sugar-bowl” merujuk bekalan dan permintaan dalam industri gelap itu.

Bekas “sugar baby” yang hanya mahu dikenali sebagai Alex berkata, beliau ditawarkan pekerjaan itu melalui Twitter. Terdapat juga senarai pekerjaan yang diiklankan dalam kumpulan WhatsApp tertentu.

Bagaimanapun, katanya, platform “sugar baby” jauh lebih selamat untuk gadis berbanding banyak saluran lain yang ada untuk mereka mendapatkan wang dengan mudah.

“Ia menjadi lebih berbahaya untuk kami, dan laman web (Sugarbaby) ini selalunya akan memeriksa latar belakang ‘sugar daddy’ (lelaki yang membayar perkhidmatan itu).

“Selalu terdapat bahaya dalam menjadi ‘sugar baby’. Bukan saja ‘sugar daddy’ mempunyai lebih banyak kuasa dengan wang, mereka juga cenderung lebih tua daripada kami.

“Kadangkala kami dipaksa melakukan sesuatu yang melebihi dari apa yang dipersetujui sebelumnya”.

“Ini biasanya membawa kepada paksaan dan tekanan untuk gadis melakukan lebih daripada apa yang dipersetujui terlebih dahulu. Saya pernah menghadiri pertemuan pertama untuk melihat sejauh mana keserasian kami dan mereka cuba memanipulasi saya atau menjerat saya melakukan lebih daripada apa yang dipersetujui.”

Selain masalah keselamatan dan potensi dieksploitasi, Alex berkata, ia turut disertakan kerahsiaan dalam industri itu.

Katanya, bukan hanya stigma masyarakat, yang cenderung menganggap semua “sugar baby” sebagai pelacur, tetapi juga pangkat lelaki dalam pekerjaan dan keluarga mereka.

Wanita itu berkata, ramai lelaki lebih tua itu mempunyai gelaran kehormat.

Beliau berkata, motif mereka mencari “sugar baby” juga berbeza, dengan ada yang hanya memerlukan teman, manakala yang lain mahukan lebih.

Alex tidak berasal dari keluarga kaya dan memerlukan wang untuk berbelanja ketika mula belajar di universiti.

“Saya hanya mahukan wang dan fikir boleh memanfaatkan kemahiran sosial saya. Saya tidak boleh mencari pekerjaan tetap kerana jadual saya sangat padat dan hanya boleh bekerja pada syif hujung minggu, jika saya bekerja sambilan.”

Kelebihan pekerjaan ini ialah menjalin hubungan dengan manfaat kewangan tambahan.

“Kadang-kadang ia boleh menjadi persabahatan yang baik.

“Anda tidak dipaksa untuk memberikan khidmat seks atau apa saja – itu semua bergantung kepada diri masing-masing. Mempunyai platform seperti Sugarbook hanya menghubungkan anda dengan orang yang mempunyai wang atau kedudukan.”

Beliau berkata, kritikan ke atas Sugarbook dan perkhidmatan “Sugar baby” disalahertikan kerana tumpuan sepatutnya diberikan kepada pengangguran belia.

“Yuran universiti dan buku sangat mahal, itu tidak termasuk sewa bilik jika anda tinggal di luar kampus dan kos pengangkutan.”

“Ada orang yang suruh kami cari kerja sambilan. ‘Sugar baby’ adalah kerja malas, tetapi kebiasaannya, jadual pelajar sepenuh masa padat dengan kelas, tugasan dan juga peperiksaan.”

Seorang lagi wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Sarah berkata, ketika menjadi “sugar baby”, beliau tidak pernah menawarkan perkhidmatan seks.

“Apabila saya bercakap dengan lelaki, ia lebih kepada perbualan intelektual mengenai politik atau hal ehwal semasa. Saya merasakan seperti dibayar untuk duduk dan kelihatan cantik, tetapi juga menjadi kawan.”

Pendapatannya, beliau berkata, bergantung kepada kekerapan “sugar baby” mendapatkan “party job”.

“Party job” merujuk sekumpulan wanita perlu menemani lelaki tertentu menghadiri parti persendirian, biasanya di kelab atau “lounge”.

Namun, tugas ini sukar diperolehi kerana ia menjadi rebutan ramai wanita.

“Ramai wanita akan memohon satu pekerjaan yang diiklankan dan kemungkinan anda dipilih daripada kalangan ramai gadis, adalah tipis.

“Mungkin dalam seminggu, anda boleh mendapat satu tugasan setiap hari dan tiga minggu tanpa sebarang pekerjaan. Ada beberapa kali, saya dibayar RM800 untuk lima jam dan kemudian RM150 lagi untuk setiap jam berikutnya.”

Bagaimana dengan pelanggan dalam kalangan VIP? Sarah berkata, ia agak lazim untuk melihat orang terkenal ketika melakukan “party job”.

Katanya, mereka yang memilih untuk menjadi “sugar baby” bukan saja wanita yang memerlukan pendapatan tambahan – ada yang menceburi industri itu kerana dijanjikan kehidupan glamor dan mewah. Hasilnya, ramai gadis muda tempatan dan asing yang mampu menjalani kehidupan mewah.

Berdasarkan pemerhatiannya, “sugar baby” dari Ukraine dan Rusia menjalani “kehidupan baik”, dengan tinggal di pangsapuri dibayar sepenuhnya, mempunyai baju cantik dan makan malam di restoran mahal.

Sugarbook baru-baru ini mendedahkan terdapat peningkatan 40% daripada kalangan pelajar yang mendaftar sebagai “sugar baby” sejak Januari, dengan 12,705 pelajar dari 10 institusi pengajian tinggi di sekitar Lembah Klang menggunakan platform itu.

Sejak itu, Kementerian Pengajian Tinggi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta polis menjalankan siasatan ke atas aplikasi Sugarbook dan universiti yang disenaraikan dalam laporan itu.


Sebaran :

One thought on “Kisah manis ‘sugar baby’

  • patut le berlaku wabak covid19, masalahnya bala ni kena tak mengira yang jahil & yang baik serta beriman disebabkan perbuatan mungkar si jahil…jadi sugarbaby sebab kesempitan duit ni cuma alasan je sebab ramai lagi yang boleh jaga maruah & kehormatan diri walaupun dalam kesempitan juga

    Reply

Leave a Reply