Mayat warga emas dipercayai mangsa bunuh ditemukan berhampiran sekolah

ALOR SETAR: Seorang lelaki warga emas dijumpai mati dengan kesan kecederaan parah pada bahagian leher disyaki dibunuh sebelum mayatnya ditemukan orang awam di kawasan SK Suka Menanti, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Ahmad Shukri Mat Akhir berkata sebelum itu, polis menerima maklumat mengenai pergaduhan membabitkan dua lelaki berhampiran Lebuhraya Sultan Abdul Halim, dekat sini pada 4.30 petang.

“Selepas itu, polis menerima satu lagi maklumat daripada orang awam yang telah menjumpai satu mayat di kawasan sekolah berkenaan pada 6.30 petang.



“Siasatan mendapati, mangsa yang berusia 73 tahun itu adalah seorang daripada yang terlibat dalam pergaduhan sebelum itu.

“Mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemukan dengan kesan kecederaan parah pada bahagian leher dan dipercayai telah mati sebelum dibuang ke kawasan berkenaan,” kata beliau ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata suspek yang berumur dalam lingkungan 30-an dipercayai mempunyai masalah mental berjaya ditahan selepas dia terlibat dalam satu kemalangan di kawasan Taman Wira Mergong, di sini selepas melakukan jenayah itu.

“Selepas pergaduhan berlaku, suspek telah membawa mangsa masuk ke dalam kereta Proton Saga miliknya. Kita masih menyiasat sama ada mangsa mengenali suspek dan sama ada ia melibatkan kes culik.



“Senjata yang digunakan iaitu sebilah parang telah dijumpai di dalam kereta suspek dan motif kejadian masih dalam siasatan. Suspek kini ditahan di Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan dan kita akan mendapatkan perintah reman terhadapnya untuk siasatan,” kata Ahmad Shukri.

Beliau berkata suspek juga mempunyai dua rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker